PUTRAJAYA - Kesemua 36 pegawai atasan kakitangan awam dalam Kategori Perkhidmatan Utama yang menerima gaji baru di bawah Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang dibatalkan, bersetuju untuk memulangkan ‘kenaikan’ yang diterima baru-baru ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, ini berikutan pembatalan skim itu dan kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang ditambah baik, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sebagai penjawat awam yang bertanggungjawab, mereka telah bersetuju untuk memulangkan kenaikan itu (di bawah SBPA).

“Lebih daripada separuh telah kembalikan manakala yang lain tidak sempat kerana berada di seberang laut,” katanya kepada pemberita selepas majlis syarahan “Chief Secretary Annual Lecture Series: The Fifth Estate - A space for
Academia?” di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa 36 pegawai atasan kakitangan awam telah menerima kenaikan gaji antara RM35,000 hingga RM60,000, di bawah SBPA.

SBPA diperkenalkan awal tahun ini telah mengundang keresahan dan tidak puas hati di kalangan penjawat awam, dan kerajaan pada 12 Jan lalu memutuskan supaya skim itu dikaji semula.

Pada 8 Mac, Perdana Menteri mengumumkan pembatalan SBPA dan pengembalian kepada SSM yang ditambah baik.

Mengenai penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji penambahbaikan SSM, Mohd Sidek berkata, ia akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Saya akan bincang dengan pihak-pihak yang tertentu dan akan umumkan,” katanya. - Bernama