Thursday 17 May 2012

14 Isu Beban Guru Ditangani

 

Muhyiddin Yassin menurunkan tandatangan pada kain rentang sebagai sokongan terhadap guru sambil diperhatikan Menteri Besar Perak,Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir ketika Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-41 di Dewan Jubli Perak,Kuala Kangsar, Perak, semalam.
KUALA KANGSAR 16 Mei - Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru termasuk memperkenalkan sistem tunggal kemasukan data.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatankuasa itu antara lain memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah bagi menangani keluhan guru yang terbeban dengan penggunaan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.
''Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah dan dijadualkan semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang 2013," katanya ketika berucap merasmikan perayaan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-41 di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya juga sedang menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 sehingga Jun 2012 untuk melihat impak kakitangan itu bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru.
Selepas kajian itu, katanya, satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam bagi memperluaskan penempatan kakitangan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah di bawah kementerian.
''Bagi menangani isu beban tugas guru itu juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambah baik pengendaliannya di peringkat sekolah.
''Oleh itu, pada tahun ini, hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan. Pemansuhan sepenuhnya ujian dan peperiksaan setara akan dikuat kuasa mulai 2013, iaitu semuanya akan dijalankan di waktu pengajaran dan pembelajaran," katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, Kementerian Pelajaran komited untuk mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di sekolah rendah dan 90 peratus di sekolah menengah menjelang tahun 2015.
Sehingga kini, katanya, program pensiswazahan guru telah berjalan lancar dengan 69.6 peratus daripada 66,124 guru yang disasarkan telah menerima tawaran mengikut pengajian di institusi pengajian tinggi.

24,053 Guru Naik Pangkat

 

PENERIMA Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan, dari kiri, Lim Ia Lee @ Lim Irene, Datuk Hassan Harun, Datuk Mary Yap Kain Ching, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib, Datuk Omar Hashim dan Mohd. Azman Abdul Rashid bersama sijil penghargaan masing-masing yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika Pelancaran Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-41 di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, Perak, semalam. - utusan/Roy Azis Abd. Aziz


KUALA KANGSAR 16 Mei - Seramai 24,053 guru lepasan ijazah dan diploma di seluruh negara yang memenuhi syarat tempoh perkhidmatan akan menikmati kenaikan pangkat mulai 1 Jun hingga 31 Disember ini.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu berkata, kenaikan pangkat tersebut melibatkan 8,222 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Siswazah dan 15,831 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma.
‘‘Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Dr. Rosli Mohamed; Ketua Pengarah Pelajaran; Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud, barisan kepimpinan kerajaan negeri dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, selaras dengan usaha menambah baik skim perkhidmatan pendidikan, peruntukan tempoh minimum kenaikan pangkat secara ‘time-based’ berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 8 Mac lalu.
Beliau menarik perhatian, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah gred DG41 hanya memerlukan lapan tahun untuk kenaikan ke DG44, lapan tahun (DG44 ke DG48), enam tahun (DG48 ke DG52) manakala hanya tiga tahun (DG52 ke DG54).
Menurutnya, bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma pula, pemegang gred DGA29 hanya memerlukan lapan tahun untuk ke DGA32, lapan tahun (DGA32 ke DGA34) dan lima tahun (DGA34 ke DGA38).
Muhyiddin berkata, lanjutan pengumuman Perdana Menteri itu, 390 guru telah dinaikkan pangkat ke gred DG54, 676 (DG52), 3,938 (DG48) dan 19,805 (DG44).
‘‘Bagi Guru Bukan Siswazah pula, seramai 399 dinaikkan ke gred DGA38 manakala 2,639 (DGA34) dan 9,519 (DGA32)," katanya.
Selain itu, kata beliau, proses kenaikan pangkat pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan penolong kanan dari DG44 ke DG48 telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran.
Setakat ini, kata beliau, 854 pengetua telah dinaikkan pangkat dari DG48 ke DG52 manakala 4,270 penolong kanan telah dinaikkan pangkat dari DG44 ke DG48.
Kenaikan pangkat itu kata Timbalan Perdana Menteri, melibatkan pengetua dan penolong kanan yang merupakan penyandang sedia ada sebelum atau pada 31 Disember 2011 serta yang memangku jawatan sebelum atau pada 31 Disember 2010.
‘‘Bagi penyandang jawatan penolong kanan gred DG48 ke gred DG52 seramai 430 orang dan baki penyandang jawatan penolong kanan gred DG44 ke gred DG48 iaitu seramai 2,655 akan diperakukan secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah memenuhi syarat ditetapkan," katanya.
Menurut Muhyiddin, peruntukan sebanyak RM934 juta bagi urusan kenaikan pangkat pegawai perkhidmatan pendidikan membuktikan kesungguhan kerajaan memberi pengiktirafan kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan berpersonaliti unggul.