Tuesday 18 December 2012

Penduduk Malaysia Kini 28.3 Juta


PUTRAJAYA: Malaysia kini mempunyai 28.3 juta penduduk dengan bilangan lelaki melebihi wanita, demikian menurut laporan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010.

Penduduk lelaki kini adalah 14.56 juta orang dan wanita 13.77 juta orang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ketika mengumumkan laporan itu, yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof.
Nor Mohamed berkata purata kadar pertumbuhan penduduk tahunan pula ialah sebanyak 2 peratus untuk tempoh 2000 hingga 2010, menurun berbanding 2.6 peratus bagi tempoh 1991 hingga 2000.

"Tidak seperti laporan terdahulu di mana ia telah memuatkan data awalan banci, laporan kali ini memuatkan data muktamad yang telah mengambil kira ralat liputan dan ralat kandungan yang diperoleh daripada Penyiasatan Penilian Liputan Banci," katanya.

Banci 2010 adalah yang kelima dijalankan untuk menghasilkan data yang berguna untuk perancangan dan pelaksanaan dasar pembangunan negara. Banci sebelum ini telah dijalankan pada 1970, 1980, 1991 dan 2000.

Nor Mohamed berkata Selangor mempunyai taburan penduduk tertinggi di Malaysia dengan 5.46 juta diikuti Johor (3.35 juta) dan Sabah (3.21 juta) manakala negeri yang mempunyai penduduk paling sedikit ialah Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu 72,413 orang dan Wilayah Persekutuan Labuan (86,908).

Beliau berkata negeri yang mempunyai kepadatan penduduk paling tinggi pula ialah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu 6,891 orang diikuti Pulau Pinang (1,490) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1,478).
Katanya seiring dengan perkembangan pembangunan negara, perkadaran penduduk bandar meningkat kepada 71 peratus pada 2010 berbanding 62 peratus pada 2000.

Beliau berkata selain daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan paras urbanisasi 100 peratus, negeri lain yang mencatatkan paras urbanisasi yang tinggi ialah Selangor dan Pulau Pinang, masing-masing 91.4 dan 90.8 peratus.

Negeri yang mencatatkan paras urbanisasi yang rendah pula ialah Kelantan sebanyak 42.4 peratus, Pahang (50.5 peratus) dan Perlis (51.4), katanya.
Nor Mohamed berkata daripada 28.3 juta penduduk Malaysia yang terdiri daripada 91.8 peratus warganegara dan 8.2 peratus bukan warganegara, kumpulan etnik yang terbesar ialah bumiputera iaitu 67.4 peratus, Cina (24.6), India (7.3) dan lain-lain (0.7).

Di kalangan warganegara Malaysia, katanya, Melayu adalah etnik utama di Semenanjung Malaysia iaitu 63.1 peratus manakala Iban mencatatkan 30.3 peratus daripada jumlah keseluruhan rakyat di Sarawak sementara Kadazan/Dusun merekodkan 24.5 peratus di Sabah. - BERNAMA
=========================================================================

DARI SUMBER JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA

BANCI PENDUDUK DAN PERUMAHAN MALAYSIA 2010 (BANCI 2010)
RALAT

LAPORAN TABURAN PENDUDUK DAN CIRI-CIRI ASAS DEMOGRAFI 2010
1. Pendahuluan
Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 (Banci 2010) merupakan banci kelima yang dilaksanakan sejak tertubuhnya Malaysia pada tahun 1963. Banci sebelum ini telah dijalankan pada tahun 1970, 1980, 1991 dan 2000. Banci merupakan projek statistik yang besar telah dijalankan bagi menghasilkan data yang berguna untuk perancangan dan pelaksanaan dasar pembangunan negara.
2. Ringkasan Penemuan

Banci 2010 menunjukkan jumlah penduduk Malaysia adalah 28.3 juta, berbanding 23.3 juta pada tahun 2000 (Carta 1). Ini memberikan purata kadar pertumbuhan penduduk tahunan sebanyak 2.0 peratus untuk tempoh 2000-2010. Kadar ini adalah lebih rendah berbanding 2.6 peratus bagi tempoh 1991-2000 (Carta 2). Negeri yang mencatatkan kadar pertumbuhan tertinggi bagi tempoh 2000-2010 ialah W. P. Putrajaya (17.8%), diikuti oleh Selangor (2.7%), Melaka (2.6%) dan Sabah (2.1%). Antara negeri yang mengalami kadar pertumbuhan yang rendah ialah Terengganu (1.4%), Perak (1.4%), W. P. Labuan (1.3%) dan Perlis (1.2%).
3. Taburan penduduk

Taburan penduduk mengikut negeri menunjukkan Selangor sebagai negeri yang mempunyai penduduk paling ramai (5.46 juta), diikuti oleh Johor (3.35 juta) dan Sabah (3.21 juta). Sumbangan negeri tersebut kepada jumlah penduduk Malaysia ialah 42.4 peratus. Negeri yang mempunyai penduduk paling sedikit ialah W. P. Putrajaya (72,413) dan W. P. Labuan (86,908).
4. Kepadatan penduduk

Kepadatan penduduk Malaysia ialah 86 orang bagi setiap kilometer persegi pada tahun 2010 berbanding 71 orang pada tahun 2000. Kepadatan penduduk memberikan gambaran yang berbeza berbanding taburan penduduk. Selangor yang mempunyai penduduk paling ramai hanya menduduki tangga kelima dari segi kepadatan penduduk dengan 674 orang setiap kilometer persegi. Antara negeri yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi ialah W. P. Kuala Lumpur (6,891 orang), Pulau Pinang (1,490 orang) dan W. P. Putrajaya (1,478 orang).
5. Urbanisasi

Seiring dengan perkembangan pembangunan negara, perkadaran penduduk bandar meningkat kepada 71.0 peratus pada 2010 berbanding 62.0 peratus pada 2000 (Carta 5). Selain daripada W. P. Kuala Lumpur dan W. P. Putrajaya dengan paras urbanisasi 100 peratus, negeri lain yang mencatatkan paras urbanisasi yang tinggi adalah Selangor dan Pulau Pinang masing-masing 91.4 peratus dan 90.8 peratus (Carta 6). Sebaliknya, negeri yang mencatatkan paras urbanisasi yang rendah ialah Kelantan (42.4%), Pahang (50.5%) dan Perlis (51.4%).
6. Komposisi etnik

Jumlah penduduk Malaysia adalah 28.3 juta yang merangkumi 91.8 peratus warganegara dan 8.2 peratus bukan warganegara. Warganegara Malaysia terdiri daripada kumpulan etnik Bumiputera (67.4%), Cina (24.6%), India (7.3%) dan Lain-lain (0.7%).
Di kalangan warganegara Malaysia, Melayu merupakan kumpulan etnik utama di Semenanjung Malaysia iaitu 63.1 peratus. Iban mencatatkan 30.3 peratus daripada jumlah keseluruhan warganegara di Sarawak, manakala Kadazan/Dusun merekodkan sebanyak 24.5 peratus di Sabah.
7. Umur

Perkadaran penduduk Malaysia di bawah umur 15 tahun menurun kepada 27.6 peratus berbanding 33.3 peratus pada 2000. Sebaliknya, perkadaran penduduk umur bekerja (15 hingga 64 tahun) meningkat kepada 67.3 peratus daripada 62.8 peratus. Perkadaran penduduk berumur 65 tahun dan lebih juga bertambah kepada 5.1 peratus berbanding 3.9 peratus pada 2000. Ini menyebabkan umur penengah meningkat daripada 23.6 tahun pada 2000 kepada 26.2 tahun pada 2010, manakala nisbah tanggungan menurun daripada 59.2 peratus kepada 48.5 peratus. Trend indikator ini selari dengan peralihan struktur umur ke arah penuaan penduduk di Malaysia.
8. Nisbah jantina

Bilangan lelaki melebihi perempuan dengan nisbah jantina 106 (Carta 9). Situasi ini sama seperti yang diperoleh pada tahun 2000 (104). Nisbah lelaki berbanding perempuan secara relatifnya adalah tinggi bagi Pahang (113), Johor (112), Negeri Sembilan (107), Sabah (107), Selangor (107), W. P. Labuan (107) dan Sarawak (106). Sebaliknya, bilangan lelaki kurang daripada perempuan bagi W. P. Putrajaya (89) dan Perlis (97) seperti ditunjukkan dalam Carta 10.
9. Taraf perkahwinan

Pada 2010, penduduk berumur 15 tahun dan lebih yang belum pernah berkahwin adalah 35.1 peratus manakala yang berkahwin 59.6 peratus. Perkadaran lelaki yang belum pernah berkahwin (37.8%) adalah lebih tinggi sedikit berbanding perempuan (32.2%). Namun, perkadaran lelaki dan perempuan yang berkahwin adalah hampir sama masing-masing 59.8 peratus dan 59.4 peratus.
Umur min perkahwinan pertama bagi lelaki menurun kepada 28.0 tahun berbanding 28.6 tahun pada 2000. Sebaliknya, umur bagi perempuan meningkat kepada 25.7 tahun berbanding 25.1 tahun pada 2000.
10. Agama

Islam merupakan agama yang paling meluas dianuti di Malaysia dengan perkadaran 61.3 peratus. Sebagai negara berbilang kaum, antara agama lain yang dianuti adalah Buddha (19.8%), Kristian (9.2%) dan Hindu (6.3%).

11 Resolusi Bela Guru

 

pix_gal0
KONGRES cadang tubuh bank untuk manfaat pendidik, murid
Kuala Lumpur: Kongres Kesatuan Guru-Guru Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) mengemukakan resolusi 11 perkara kepada kerajaan untuk membela nasib pendidik dan pesara guru, termasuk penubuhan bank guru.Penubuhan bank yang dicadang diterajui Yayasan Guru Malaysia Berhad itu bertujuan memberi manfaat kepada 430,000 guru dan 5.5 juta murid di seluruh negara.

Tabung Kebajikan Guru Presiden, Jemale Paiman berkata, untuk manfaat pesara guru pula, pihaknya mencadangkan penubuhan organisasi mirip Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dikenali Lembaga Tabung Kebajikan Guru yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kebajikan pendidik dan keluarga mereka.

Beliau berkata, resolusi lain termasuk menyerap lebih 60,000 guru lepasan diploma, terutama berusia 50 tahun ke atas dalam skim siswazah tanpa temu duga.

Bagi tujuan itu, kerajaan disaran mewujudkan Skim Perkhidmatan Bersepadu Pelajaran Persekutuan. Skim yang dicadangkan ialah gabungan Skim Perkhidmatan Pelajaran Lepasan Diploma dan Skim Perkhidmatan Siswazah Tanpa Temu Duga pada gred DG 42.
“Kelonggaran khas menerusi skim istimewa kepada mereka berusia 50 tahun ke atas untuk diserapkan dalam skim siswazah sudah dilaksanakan Kementerian Kesihatan dan sesuai diamalkan oleh Kementerian Pelajaran pula,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Resolusi itu diputuskan pada mesyuarat Exco Khas KONGRES, pada Sabtu lalu dan dihantar kepada kementerian dalam tempoh terdekat untuk tindakan lanjut.

Cadangan lain ialah:

  • Menubuhkan majlis guru bertaraf profesional, berdaftar dan bertauliah untuk menjaga dan mengawal pendidik. Ia berfungsi sebagai pengawal dan mengambil tindakan tatatertib atau disiplin, denda dan menggantung atau menamatkan perkhidmatan pendidik yang berkhidmat dengan kerajaan atau swasta, institusi pengajian tinggi dan pusat tuisyen.

  • Menukar pembiayaan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN) kepada biasiswa. Pelajar yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) layak untuk menerimanya.