Tuan Yang di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya Rang
Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada
Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2013 dan bagi
memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali
kedua.
MUQADDIMAH
Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2013
dengan kalimah mulia Bismillahirrahmanirrahim dan memetik sepotong ayat dari
Surah Al-Baqarah yang diturunkan di Madinah, bahawa :
“Berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja
kamu berada pasti Allah akan menghimpunkan kamu semua pada hari kiamat untuk
menerima balasan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap
sesuatu.”
Tuan Yang di-Pertua,
1. Saya berdiri di dewan
yang mulia pada petang Jumaat yang berbahagia, penghulu segala hari, untuk
membentangkan bajet kelima bagi pihak Kerajaan semenjak mula memegang amanah
selaku Menteri Kewangan Malaysia pada tahun 2008. Syukur ke hadrat Allah SWT
kerana di atas limpah rahmatNya jua, kita telah menyaksikan sepanjang tempoh
tersebut, melalui usaha kolektif rakan-rakan anggota pentadbiran dengan sokongan
ahli-ahli parlimen, penjawat awam dan seluruh rakyat Malaysia, negara tercinta
ini telah berjaya dilindungi daripada kesan terburuk akibat kegawatan kewangan
global. Bahkan, ekonomi negara telah diletakkan di landasan pertumbuhan mapan ke
arah transformasi sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Manakala
kesejahteraan rakyat pula telah dipertingkatkan secara berterusan.
2.
Sesungguhnya, Bajet 2013 ini sebagai penerus tradisi terbaik Kerajaan Barisan
Nasional memakmurkan negara dan membawa kesejahteraan kepada semua rakyat. Ia
manifestasi sebuah janji yang ditepati. Sejak 55 tahun lalu, pada setiap
peringkat pembangunan negara, rakyat Malaysia telah meletakkan kepercayaan
mereka kepada Kerajaan yang sama. Terima kasih kita ucapkan atas kepercayaan
tersebut. Sekali-kali sepanjang masa dan musim berguling ia tidak pernah
dikhianati, sebaliknya pada setiap ketika ia telah dibalas dengan laba pada
julat berganda.
3. Kerajaan ini hakikatnya tidak pernah menjanjikan
bulan, bintang mahupun cakerawala. Kita tidak pernah melakar lukisan yang pada
hari ini tampak muluk-muluk dan indah tetapi sebenarnya berupa racun yang
berbisa. Sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tetap menceritakan
kebenaran biarpun kelat. Kita tidak pernah mendodoi rakyat dengan dogengan
lipurlara sebaliknya sentiasa menawarkan penyelesaian serta kepimpinan bitara
terhadap segala permasalahan rakyat.
4. Telah terbukti tanpa tersanggah
lagi bahawa ekonomi Malaysia merupakan ekonomi berteraskan rakyat. Ia hasil
wawasan dan aspirasi rakyat. Ia merupakan manifestasi kerja keras dan jerih
payah rakyat. Ia sumbangan masyarakat desa dan bandar, golongan profesional
serta pekerja kolar biru, petani, buruh, peladang, pekebun kecil, nelayan, guru,
pensyarah dan karyawan. Didukung pula para penjawat awam dan usahawan. Di atas
segalanya, ia diuruskan secara teliti dan berhemah oleh Kerajaan yang meletakkan
kebajikan rakyat di atas jemalanya. Inilah formula kejayaan Malaysia.
5.
Sayugia, mengurus sebuah negara majmuk yang kompleks seperti Malaysia bukan
perkara mudah. Ia memerlukan keikhlasan dan kebijaksanaan kerana rakyat Malaysia
amat cerdik menilai yang mana intan dan yang mana kaca. Hakikat rakyat telah
memberi mandat kepada Kerajaan ini sebanyak 12 kali tanpa putus semenjak 1959
bermakna sesuatu yang betul telah dilakukan oleh Kerajaan sedia ada.
6.
Sesungguhnya waad yang wujud itu, di antara rakyat dan Kerajaan selama ini mana
mungkin mampu dipunahkan waima sekuat mana pun fitnah dan mehnah melanda.
Sehubungan itu, naskah bajet yang akan saya persembahkan ini merupakan sebuah
penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia lantaran terus meletakkan kepercayaan
kepada kami di sepanjang ketika.
PRESTASI EKONOMI 2012 DAN PROSPEK
2013
Tuan Yang di-Pertua,
7. Kerajaan komited dalam memastikan
pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang meskipun dalam persekitaran global
yang tidak menentu dan mencabar. Asas ekonomi yang kukuh serta disokong oleh
sistem monetari akomodatif telah membolehkan ekonomi negara berada di landasan
teguh. Dalam tempoh separuh pertama 2012, ekonomi negara tumbuh pada kadar 5.1
peratus didorong, terutamanya oleh kekukuhan aktiviti pelaburan dan penggunaan
swasta. Negara terus menerima kemasukan pelaburan langsung asing bersih
berjumlah 13.6 bilion ringgit selaras dengan peningkatan keyakinan pelabur
terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan utama.
8. Bagi
keseluruhan tahun 2012, walaupun pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia
sederhana, pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang kukuh pada kadar 4.5
hingga 5 peratus. Pertumbuhan ini dipacu oleh pelaburan swasta sebanyak 11.7
peratus atau mencapai 127.9 bilion ringgit. Prestasi ini jauh lebih besar
berbanding jumlah pelaburan sebanyak 81 bilion ringgit pada tahun 2009. Trend
ini menunjukkan aktiviti pelaburan domestik semakin rancak, terutama dengan
pelaksanaan projek-projek di bawah Program Transformasi Ekonomi. Ini mendorong
sektor pembinaan terus melonjak tinggi sebanyak 15.5 peratus berbanding 4.6
peratus pada tahun 2011.
9. Persekitaran ekonomi domestik yang mantap
juga mendorong bursa saham mencatat prestasi yang menggalakkan. Ini terbukti
dengan Indeks Komposit Bursa Malaysia telah mencecah rekod tertinggi 1,654.11
mata pada 4 September 2012. Nilai modal pasaran telah meningkat sebanyak 44
peratus daripada 999 bilion ringgit pada akhir tahun 2009 kepada 1.43 trilion
ringgit pada akhir Julai 2012. Pendapatan per kapita pula meningkat kepada
hampir 31 ribu ringgit pada tahun 2012 berbanding 25 ribu ringgit pada tahun
2009. Rizab antarabangsa pada 14 September 2012 pula kekal kukuh mencatat 432.2
bilion ringgit, mampu membiayai 9.5 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang
luar jangka pendek.
10. Pada tahun 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi
global yang dijangka lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjur berkembang
lebih kukuh pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus. Julung kalinya, Keluaran Dalam
Negeri Kasar (KDNK) nominal dijangka melepasi paras 1 trilion ringgit.
Pertumbuhan lebih baik ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta
sebanyak 13.3 peratus dan 5.7 peratus. Sektor pembinaan dijangka terus meningkat
kukuh 11.2 peratus diikuti oleh sektor perkhidmatan pada kadar 5.6
peratus.
PERUNTUKAN BAJET 2013
Tuan Yang di-Pertua,
11. Bajet 2013 akan menyediakan
peruntukan sejumlah 251.6 bilion ringgit
bagi melaksanakan semua langkah, program dan projek pembangunan, menumpukan
kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada jumlah tersebut,
201.9 bilion ringgit adalah bagi perbelanjaan mengurus dan 49.7 bilion ringgit
bagi peruntukan pembangunan.
12. Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah
58.6 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 33.7 bilion ringgit disediakan bagi
Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 107.3 bilion ringgit diperuntukkan kepada
Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan untuk
Pembelian Aset dan baki 1.2 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.
13.
Bagi peruntukan pembangunan pula, sejumlah 30 bilion ringgit disediakan bagi
sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta
pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 11.1 bilion ringgit
diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan,
kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 4.6 bilion
ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, 2 bilion ringgit bagi
pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.
14. Dari
segi kutipan
hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2013, jumlahnya dianggarkan
208.6 bilion ringgit, berbanding 207.2 bilion ringgit pada tahun 2012. Dengan
mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan
akan terus berkurangan kepada 4.0 peratus daripada KDNK bagi tahun 2013,
berbanding 4.5 peratus pada tahun 2012. Ini menunjukkan Kerajaan komited untuk
terus mengurangkan defisit fiskal ke paras lebih rendah.
FOKUS
BAJET 2013
Tuan Yang di-Pertua,
15. Bajet 2013 digubal dengan
fokus untuk meningkatkan taraf hidup rakyat di seluruh negara, memastikan
pertumbuhan ekonomi mapan, perbelanjaan berhemah dan mengurangkan defisit fiskal
negara dengan matlamat keseluruhan mengutamakan kesejahteraan rakyat. Kerajaan
akan memastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik serta manfaat maksimum
hasil daripada pelaksanaan program dan projek pembangunan. Oleh itu, Bajet 2013
dirangka bertemakan “MEMAKMUR NEGARA, MENSEJAHTERA RAKYAT: SEBUAH JANJI
DITEPATI” dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama.
FOKUS
PERTAMA: MERANGSANG AKTIVITI PELABURAN
Tuan Yang
di-Pertua,
16.
Pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh
pelaburan langsung asing dan domestik. Dalam tempoh separuh pertama 2012,
pelaburan swasta meningkat kepada 75.3 bilion ringgit berbanding 59.8 bilion
ringgit bagi tempoh yang sama tahun 2011. Trend ini dijangka berterusan dalam
tahun 2013 dengan pelaburan swasta dijangka meningkat kepada 148.4 bilion
ringgit.
17. Kerajaan akan terus memperhebatkan pelaksanaan 12 Bidang
Utama Ekonomi Negara. Sejumlah 3 bilion ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan
projek permulaan bagi tahun 2013. Ini termasuk 1.5 bilion ringgit bagi projek
pertanian seperti kelapa sawit, getah, herba bernilai tinggi dan padi. Sebanyak
500 juta ringgit diperuntukkan untuk projek River of Life bagi mengindahkan
Sungai Klang. Manakala, 300 juta ringgit lagi untuk projek pemulihan rangkaian
paip dan pembentungan bagi perkhidmatan dan kemudahan
air.
Menggalak Pelaburan Domestik
Tuan Yang
di-Pertua,
18. Seterusnya, bagi merangsang pelaburan domestik dan
mempercepatkan penyertaan syarikat Malaysia dalam rantaian bekalan global,
Kerajaan telah menyediakan Dana Strategik Pelaburan Domestik bernilai 1 bilion
ringgit di bawah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. Dana ini bertujuan
memanfaatkan aktiviti penyumberan luar dan pemerolehan teknologi oleh syarikat
tempatan. Selain itu, Kerajaan juga memperkenalkan semula insentif
pengambilalihan syarikat asing dan kadar cukai khas bagi menggalakkan penyedia
perkhidmatan tempatan bergabung menjadi entiti lebih
besar.
Mempergiat Perusahaan Kecil dan Sederhana
19.
Seperti kita maklum, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memainkan peranan
penting dalam transformasi ekonomi negara. Bagi mempercepatkan pertumbuhan
industri PKS dan perluasan skop kawasan industri di seluruh negara, dana
sebanyak 1 bilion ringgit akan disediakan di bawah Skim Pembangunan PKS bawah
kendalian SME Bank. Langkah ini memudahkan akses PKS untuk mendapat pembiayaan
dan seterusnya memajukan perniagaan mereka.
20. Ini selari dengan Pelan
Induk PKS (2012 - 2020) yang telah dilancarkan yang bertindak sebagai ‘game
changer’ untuk mempercepatkan pertumbuhan PKS melalui inovasi dan produktiviti.
Pelan induk ini melibatkan pelaksanaan 32 inisiatif termasuk 6 Program Berimpak
Tinggi dengan peruntukan 30 juta ringgit.
21. Dalam mempergiatkan
Industri Halal, terutamanya membangunkan produk-produk halal berimpak tinggi
untuk tujuan eksport, SME Bank dengan kerjasama Bank Pembangunan Islam akan
menyediakan Dana Industri Halal sebanyak 200 juta ringgit bagi membiayai modal
kerja PKS terlibat.
22. Pada masa ini, terdapat 1.5 juta penjaja dan
peniaga kecil menjalankan perniagaan secara tradisional dengan struktur
perniagaan kecil dan pendapatan harian tidak menentu. Sehubungan itu, sebagai
tanda keprihatinan dengan kekangan yang dihadapi oleh mereka sekiranya berlaku
kemudaratan diri, hilang upaya serta kematian, Kerajaan mencadangkan skim
perlindungan insurans berkelompok kepada penjaja dan peniaga kecil yang
berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Skim ini akan memberi had
perlindungan maksimum sehingga 5,000 ringgit. Buat pertama kalinya, Kerajaan
akan membiayai skim ini dengan peruntukan sebanyak 16 juta ringgit
setahun.
23. Di samping itu, Perbadanan Nasional Berhad (PNS) akan
memperkenalkan program Business In Transformation bagi menyokong usaha bersepadu
memodenkan perniagaan golongan penjaja dan peniaga kecil kepada standard yang
lebih tinggi dan berdaya saing dengan menggunakan model licensing atau
franchising. Program ini akan memberi bimbingan dan khidmat nasihat ke atas
konsep perniagaan baru seperti kedai bergerak, kiosk dan perniagaan atas talian.
Untuk ini, PNS akan menyediakan kemudahan kepada penjaja dan peniaga kecil
dengan pinjaman sehingga 25 ribu ringgit bagi licensee dan 500 ribu ringgit
kepada licensor.
Malaysia Sebagai Hab Minyak dan
Gas
Tuan Yang di-Pertua,
24. Kita bersyukur kerana dikurniakan
punca galian berharga iaitu minyak dan gas asli di pesisir pantai. Kerajaan
bermatlamat menjadikan Malaysia daripada sekadar pengeluar, kepada salah satu
hab dagangan minyak dan gas bersepadu utama dunia.
25. Jadi, Kerajaan
telah mengambil beberapa langkah strategik meningkatkan keupayaan negara
terutamanya dalam menyediakan ekosistem yang berupaya menyokong pembangunan
rantaian penapisan, penyimpanan dan dagangan. Bagi mendokong penglibatan
pengusaha swasta dalam pembangunan industri minyak dan gas, pelbagai insentif
cukai dan insentif bukan cukai istimewa telah dirangka. Ini termasuk bantuan kos
pengambilalihan tanah dan bantuan kewangan sebagai tipping point projek
perkongsian awam swasta, pengecualian cukai pendapatan 100 peratus untuk tempoh
10 tahun, pengecualian cukai pegangan dan pengecualian duti setem.
26.
Bagi pelaburan dalam aktiviti penapisan produk petroleum, Elaun Cukai Pelaburan
sebanyak 100 peratus untuk tempoh 10 tahun diberi kepada yang layak. Hasil
insentif, pelbagai projek pelaburan minyak dan gas bernilai 20 bilion dolar US
telah dimulakan termasuk projek Petronas Refinery and Petrochemical Integrated
Development atau Rapid, Terminal Simpanan Minyak dan Gas di Johor, Loji
Regasifikasi di Melaka dan terminal minyak serta gas di Sipitang,
Sabah.
27. Pada tahun lepas, Kerajaan juga telah melancarkan Program
Global Incentive for Trading atau GIFT dengan galakan cukai pada kadar 3
peratus. Sehubungan dengan permintaan global LNG yang dijangka mencecah 400 juta
tan setahun pada tahun 2025, program GIFT ditambah baik dengan pengecualian
cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 3 tahun
pertama operasi bagi syarikat dagangan. Dagangan komoditi yang diluluskan akan
diperluaskan kepada lain-lain komoditi seperti pertanian, bahan mentah bertapis,
logam asas dan kimia.
Merancak Sektor Pelancongan
Tuan
Yang di-Pertua,
28. Industri pelancongan merupakan satu sektor
pertumbuhan ekonomi penting yang menyumbang hampir 12 peratus KDNK. Jumlah
pendapatan daripada sektor pelancongan dianggar akan meningkat kepada 62 bilion
ringgit pada tahun 2012. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2013/2014, Kerajaan akan
memperuntukkan sebanyak 358 juta ringgit di bawah perbelanjaan pembangunan iaitu
peningkatan peruntukan sebanyak 42 peratus dengan sasaran pelancong seramai 26.8
juta orang. Kerajaan juga mencadangkan lanjutan pengecualian cukai pendapatan
selama 3 tahun bagi pengusaha pelancongan yang mengendalikan sekurang-kurangnya
750 pelancong asing atau 1,500 pelancong tempatan
setahun.
Meningkat Aktiviti Pertanian
29. Di sudut
lain, Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada sektor pertanian dalam usaha
untuk meningkatkan pendapatan negara dan memastikan kelestarian jaminan bekalan
makanan. Diperuntukkan sebanyak 5.8 bilion ringgit, kepada Kementerian Pertanian
dan Industri Asas Tani.
30. Kerajaan menyediakan sebanyak 30 juta
ringgit bagi pembangunan program pertanian merangkumi aplikasi penggunaan
teknologi tinggi dalam pengeluaran buah dan sayuran, peningkatan pembekalan
benih berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus dari ladang, pewujudan
pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi latihan pertanian. Kerajaan
juga mempersiapkan sebanyak 75 juta ringgit bagi meningkatkan pengeluaran produk
makanan dan kesihatan.
31. Bagi sektor perladangan pula, di bawah NKEA,
sebanyak 432 juta ringgit disediakan untuk program penanaman semula pokok kelapa
sawit. Langkah ini akan meningkatkan tuaian hasil buah sawit setahun pada kadar
26.2 tan sehektar pada tahun 2020 berbanding 21 tan sehektar pada masa ini. Di
samping itu, sebanyak 127 juta ringgit disediakan untuk pembangunan bahan
terbitan oleo bernilai tinggi yang dapat mengubah komposisi industri hiliran ke
arah pengeluaran lebih banyak bahan terbitan.
Kelestarian Jaminan
Bekalan Makanan
Tuan Yang di-Pertua,
32. Berkaitan
kelestarian jaminan bekalan makanan pada masa akan datang, kawasan jelapang padi
sedia ada akan ditambahbaik dengan sistem pengurusan tanamannya secara
sistematik. Sebagai tambahan, 4 kawasan jelapang padi baru akan dibuka dan
diperluas iaitu di Kota Belud, Batang Lupar, Rompin dan Pekan. Pada masa ini,
kawasan jelapang padi bertanam adalah seluas 389 ribu hektar yang mampu
menghasilkan sebanyak 1.8 juta tan metrik. Pertambahan 4 lagi kawasan jelapang
padi baru seluas 19 ribu hektar dengan penyertaan seramai 12,237 pesawah
dijangka menghasilkan 104 ribu tan metrik dengan perbelanjaan sebanyak 140 juta
ringgit.
Membela Nasib Petani dan Nelayan
33. Kerajaan
amat menghargai sumbangan para nelayan dan sentiasa memastikan kedudukan
sosioekonomi golongan ini bertambah baik dan pendapatan mereka meningkat. Pada
masa ini, Kerajaan memberi elaun bantuan sara hidup 200 ringgit sebulan yang
dapat memanfaatkan 55 ribu nelayan berdaftar. Kerajaan juga menyediakan insentif
pada kadar 10 sen hingga 20 sen sekilo bagi menggalakkan nelayan mendaratkan
hasil tangkapan di jeti-jeti berdaftar seluruh negara.
34. Kerajaan juga
telah memperkenalkan skim perlindungan insurans nelayan dengan perlindungan
maksimum 100 ribu ringgit. Meneruskan hasrat ini, bagi tahun 2013, Kerajaan akan
memperuntukkan 230 juta ringgit sebagai insentif tangkapan ikan dan bayaran
elaun bantuan sara hidup nelayan. Di samping itu, berdasarkan peruntukan 300
juta ringgit pada Bajet 2012, program pembangunan dan pembaikan rumah nelayan
sedang giat dijalankan.
35. Bagi membantu para petani mengurangkan kos
pengeluaran pula, Kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif
pertanian sedia ada berjumlah 2.4 bilion ringgit. Bantuan ini termasuk subsidi
dan insentif untuk sektor padi yang merangkumi Pemberian Subsidi Harga Padi -
480 juta ringgit, Pemberian Subsidi Baja Padi - 465 juta ringgit, Insentif
Peningkatan Hasil Padi - 80 juta ringgit, Insentif Pengeluaran Padi - 563 juta
ringgit, Subsidi Harga Beras - 528 juta ringgit dan Subsidi Benih Padi Sah - 85
juta ringgit.
36. Selaras dengan komitmen untuk menjaga kebajikan rakyat,
terutama pengusaha sawah, buat julung kalinya, Kerajaan akan memperkenalkan Skim
Perlindungan Takaful Padi. Skim ini memberi kemudahan perlindungan kepada
pengusaha sawah di bawah 10 hektar dan dijangka dapat memanfaatkan 172 ribu
pesawah. Jumlah pampasan yang dapat diterima dianggarkan bernilai 13 ribu
ringgit setiap pesawah. Buat permulaan, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta
ringgit.
37. Selain itu, Kerajaan akan meneruskan Projek Azam Tani yang
diperkenalkan pada tahun 2011. Program ini telah berjaya mengeluarkan seramai
1,234 keluarga daripada garis kemiskinan dengan purata pendapatan meningkat di
antara 200 hingga 2,000 ringgit sebulan malah beberapa peserta telah berjaya
mendapat pendapatan melebihi 10 ribu ringgit sebulan. Untuk memperkasakan lagi
usaha ini, sebanyak 41 juta ringgit akan diperuntukkan bagi memberi manfaat
kepada 6,730 peserta.
Mencergaskan Pasaran Modal dan
Kewangan
Tuan Yang di-Pertua,
38. Pasaran modal negara
berkembang pesat walaupun terdapat ketidaktentuan dalam ekonomi global. Malaysia
terus menerajui terbitan sukuk dengan menyumbang 71 peratus atau 171 bilion
ringgit daripada jumlah terbitan sukuk global dalam tempoh tujuh bulan pertama
2012. Ini terbukti dengan terbitan sukuk tunggal terbesar di dunia oleh PLUS
Berhad bernilai 30.6 bilion ringgit.
39. Di samping itu, industri
pengurusan dana dan amanah saham menunjukkan pertumbuhan kukuh dalam tempoh
pertama 2012 dengan aset yang diuruskan meningkat kepada 451.9 bilion ringgit
dan nilai aset bersih sebanyak 277.8 bilion ringgit.
Tuan Yang
di-Pertua,
40. Pada tahun 2012, pasaran ekuiti negara telah mencatat
peningkatan yang monumental dengan menyaksikan tawaran awam awal atau IPO yang
bernilai 17.4 bilion ringgit. Ia merupakan peningkatan 162 peratus berbanding
2011. Sejarah tercipta apabila dua daripada tiga IPO terbesar di dunia iaitu
Felda Global Ventures Holdings (FGVH) dengan nilai 9.9 bilion ringgit dan IHH
Healthcare Berhad dengan nilai 6.3 bilion ringgit telah diterbitkan. Terkini,
Astro akan disenaraikan pada bulan Oktober 2012 dengan jangkaan nilai terbitan
yang besar.
41. Untuk terus mencergaskan pasaran modal dan ekuiti negara,
Suruhanjaya Sekuriti akan menyediakan rangka kerja bagi terbitan AgroSukuk untuk
syarikat yang terlibat dalam sektor pertanian, terutamanya dengan kejayaan
penyenaraian FGVH. Dengan terdapatnya instrumen seperti AgroSukuk, ia dapat
mengumpulkan modal bagi membiayai syarikat-syarikat pertanian dan industri asas
tani. Justeru, untuk menggalakkan terbitan AgroSukuk, Kerajaan mencadangkan
perbelanjaan bagi menerbitkan sukuk tersebut diberi potongan cukai dua kali bagi
tempoh 4 tahun mulai tahun taksiran 2012 hingga 2015.
42. Selain daripada
pelabur institusi, buat pertama kalinya, Kerajaan menggalakkan pelabur runcit
menyertai pasaran modal. Bagi tujuan ini, SC telah menyediakan satu rangka kerja
terbitan bon dan sukuk runcit untuk membolehkan pelabur-pelabur runcit memiliki
pegangan dalam pasaran bon dan sukuk. Sebagai permulaan, DanaInfra Nasional
Berhad akan menerbitkan bon runcit bernilai 300 juta pada akhir tahun 2012 untuk
membiayai pembangunan projek MRT.
43. Bagi mendorong syarikat menerbitkan
bon dan sukuk runcit, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan tambahan menerbitkan
bon dan sukuk runcit tersebut diberi potongan cukai dua kali mulai tahun
taksiran 2012 hingga 2015. Pada masa yang sama, pelabur individu pula, diberi
pengecualian duti setem ke atas surat cara yang terlibat dalam urus niaga bon
dan sukuk runcit.
44. Suruhanjaya Sekuriti akan menubuhkan Pusat Promosi
Pasaran Modal bagi memastikan keberkesanan dan promosi secara holistik pasaran
modal Malaysia di peringkat antarabangsa. Pusat ini akan memastikan pendekatan
bersepadu dengan menyediakan inisiatif yang konsisten untuk menempatkan Malaysia
sebagai destinasi pelaburan dan pendanaan.
45. Bagi meningkatkan
penawaran golongan profesional untuk menyokong pertumbuhan pasaran modal, SC
akan memperkenalkan inisiatif Graduate Representative Program. Program ini akan
dilaksanakan dengan kerjasama sektor swasta bagi melatih 1,000 graduan supaya
dapat memenuhi keperluan industri sekuriti dan derivatif.
Menggalakkan Amanah Perniagaan (Business Trust)
Tuan
Yang di-Pertua,
46. Pengendalian perniagaan melalui suatu entiti amanah
mempunyai kelebihan tertentu, terutamanya dari segi meningkatkan keupayaan untuk
memperoleh sumber kewangan berdasarkan aset yang dimiliki. Dengan itu, Kerajaan
telah meminda Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 untuk menyediakan pilihan
pengendalian perniagaan melalui struktur baru iaitu amanah perniagaan (business
trust).
47. Selaras dengan ini, Kerajaan mencadangkan amanah perniagaan
diberi layanan cukai sama seperti sesebuah syarikat. Seterusnya, bagi
menggalakkan pembangunan amanah perniagaan, adalah dicadangkan pindah milik
perniagaan, aset dan hartanah milik syarikat kepada amanah perniagaan diberi
pengecualian duti setem dan pengecualian cukai keuntungan harta tanah di
peringkat awal penubuhan amanah perniagaan.
48. Kerajaan telah menubuhkan
Danajamin Nasional Berhad agar syarikat yang berdaya maju mendapat dana melalui
pasaran bon pada kos yang munasabah. Danajamin telah meluluskan jaminan
berjumlah 9.3 bilion ringgit nilai terbitan bon kepada 30 syarikat dengan 4.2
bilion ringgit bon dan sukuk telah diterbitkan. Langkah ini telah membolehkan
syarikat menjana aktiviti ekonomi dalam pelbagai sektor termasuk hartanah,
infrastruktur, perladangan, minyak dan gas, pembinaan, perkilangan serta
penerbangan.
49. Bagi merancakkan lagi akses syarikat ke pasaran modal,
Kerajaan akan menambah peruntukan modal Danajamin sebanyak 400 juta ringgit
dalam tempoh 2 tahun. Suntikan ini dapat melipatgandakan nilai terbitan antara 4
hingga 6 bilion ringgit.
50. Kerajaan turut mengumumkan penubuhan Yayasan
Pasaran Modal sebagai usaha bersepadu meningkatkan kompetensi dan keupayaan
untuk bersaing dalam landskap pasaran modal yang lebih dinamik. Yayasan ini akan
memberi fokus kepada 3 aspek utama iaitu pembangunan PKS; menggalak dan
menyokong produk inovasi dan pembangunan modal insan. Sehubungan dengan itu,
sejumlah 100 juta ringgit akan disediakan kepada Yayasan ini melalui Tabung
Pembangunan Pasaran Modal di bawah kawal selia SC.
51. Sebagai salah
satu inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan antarabangsa serta
menarik FDI, Kerajaan telah melancarkan Tun Razak Exchange atau TRX pada 30
Julai 2012 dengan nilai pembangunan kasar sebanyak 26 bilion ringgit. TRX akan
memberi peluang pelaburan baru dengan menghubungkan komuniti perniagaan dan
pasaran global. TRX dijangkakan menarik 250 syarikat perkhidmatan kewangan
antarabangsa dan menawarkan 40 ribu peluang pekerjaan mahir dan
berpengetahuan.
52. Untuk mengalakkan institusi kewangan antarabangsa
utama menjadikan Kuala Lumpur sebagai pilihan pelaburan, pengecualian cukai
pendapatan bagi tempoh 10 tahun kepada syarikat berstatus TRX, pengecualian duti
setem, elaun bangunan industri, elaun modal dipercepatkan kepada syarikat
berstatus TRX Marquee dan pengecualian cukai bagi pemaju hartanah telah
diberikan. Kerja pembinaan awal TRX berjalan lancar mengikut jadual. Manakala,
pengalihan kemudahan utiliti sedia ada di tapak TRX pula sedang giat dijalankan
dan dijangka selesai pada Oktober 2012.
Wakaf Korporat
Tuan Yang di-Pertua,
53. Kerajaan mengambil maklum bahawa Majlis
Agama Islam Negeri merupakan pemegang amanah tunggal bagi semua wakaf dan dana
wakaf dalam sesebuah negeri. Institusi wakaf di Malaysia tidak hanya tertumpu
pada pembangunan tanah semata-mata tetapi juga merangkumi wakaf dalam bentuk
tunai, saham dan instrumen kewangan lain yang dikategorikan sebagai wakaf
korporat. Selaras dengan itu, Yayasan Wakaf Malaysia di bawah Jabatan Wakaf
Zakat dan Haji (JAWHAR) akan diberi tanggungjawab untuk merangka pelan induk
Wakaf Korporat mengambil kira struktur perundangan Agama Islam Negeri. Pelan
induk ini bakal menjadi platform pembangunan wakaf korporat di
Malaysia.
Pembangunan Usahawan Bumiputera
Tuan Yang
di-Pertua,
54. Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan syarikat
Bumiputera dapat bersaing secara seimbang dalam pemilikan syarikat besar,
pekerjaan berpendapatan tinggi serta pelaburan dalam sektor utama ekonomi. Pada
tahun 2010, ekuiti Bumiputera telah meningkat kepada 23 peratus berbanding 22
peratus pada tahun 2008. Salah satu usaha ialah meningkatkan penglibatan
syarikat Bumiputera dalam pelaksanaan jajaran pertama projek MRT. Sesungguhnya,
penglibatan syarikat Bumiputera dalam projek berimpak tinggi seperti MRT akan
meningkatkan keupayaan dan kemahiran syarikat Bumiputera tempatan. Justeru,
sebanyak 9 bilion ringgit atau 43 peratus daripada nilai kos infrastruktur
projek MRT diperuntukkan kepada syarikat Bumiputera.
55. Usaha juga akan
diambil bagi membantu syarikat PKS Bumiputera untuk berkembang dan
mempertingkatkan pegangan ekuiti dalam sektor ekonomi. Sehubungan ini, Dana
Pembiayaan Bumiputera berjumlah 1 bilion ringgit akan disediakan oleh SME Bank.
Dana ini dijangka dapat membantu PKS tempatan bagi tujuan membiayai
pengambilalihan anak syarikat milik GLC yang menjalankan aktiviti bukan teras
dan telah dikenal pasti untuk dijual. Setakat ini, 2 GLC telah mengenal pasti
anak-anak syarikat yang berpotensi untuk dijual kepada pelabur-pelabur
Bumiputera.
56. Kerajaan telah memperkenalkan Skim Jaminan Modal Kerja
dengan dana sebanyak 10 bilion ringgit bagi membantu syarikat PKS mendapatkan
akses pembiayaan modal kerja. Skim ini memberi jaminan maksimum sehingga 2.5
juta ringgit bagi setiap syarikat yang layak. Pada masa ini, dana Skim ini yang
dikhaskan kepada syarikat Bumiputera masih berbaki 900 juta ringgit. Bagi
menarik lebih banyak syarikat bumiputera menikmati kemudahan Skim ini, Kerajaan
akan melanjutkan tempoh tamat program skim ini sehingga 31 Disember 2013,
memperluas skim ini kepada syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi dan
meningkatkan kelayakan dana pemegang saham syarikat daripada 10 juta ringgit
kepada tidak melebihi 20 juta ringgit.
57. Kemudahan pinjaman secara
mudah dan cepat sering kali menjadi kekangan kepada usahawan kecil terutama
Bumiputera. Dengan tertubuhnya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN),
usahawan kecil kini mampu memulakan dan memajukan lagi perniagaan mereka.
Sehingga kini, TEKUN telah menyalurkan pinjaman sebanyak 2.24 bilion ringgit
kepada 224,175 usahawan kecil di seluruh negara termasuk sejumlah 34.5 juta
ringgit kepada 4,212 usahawan masyarakat India di bawah Skim Pembangunan
Usahawan Masyarakat India. Bagi tahun 2013, Kerajaan menyediakan peruntukan
sebanyak 350 juta ringgit, termasuk daripadanya 50 juta ringgit kepada
masyarakat India.
FOKUS KEDUA: MEMPERKASA PENDIDIKAN DAN
LATIHAN
Tuan Yang di-Pertua,
Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025
58. Sememangnya sejak merdeka, Kerajaan telah
menjadikan bidang pendidikan sebagai agenda utama negara. Kerajaan juga
menyedari pelaburan dalam bidang ini adalah prasyarat kepada sebuah negara yang
makmur dan pembangunan rakyat yang sejahtera. Lalu, setiap tahun menyaksikan
peruntukan besar dan kali ini 21 peratus daripada keseluruhan bajet. Namun,
didapati hasil yang diperolehi tidak setara dengan pelaburan yang telah dibuat.
Maka, pada 11 September lepas, Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah
melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi
memastikan sistem pendidikan negara akan mampu mengoptimumkan potensi setiap
anak Malaysia.
59. Bagi Bajet 2013, sebanyak 38.7 bilion ringgit telah
diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran meliputi peruntukan mengurus dan
pembangunan.
60. Berbicara tentang itu, langkah meningkat upaya
kompetensi dan kualiti guru merupakan prasyarat kritikal yang menunjang kejayaan
sistem pendidikan negara. Oleh itu, bagi menjana mula prakarsa ini, di samping
38.7 bilion ringgit peruntukan kepada Kementerian Pelajaran bagi perbelanjaan
mengurus dan pembangunan, Kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan sebanyak
500 juta ringgit bagi meningkatkan kemahiran guru dalam pengajaran subjek-subjek
teras, yakni Bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, sains dan matematik melalui
pendekatan Higher Order Thinking Skills. Peruntukan ini juga merangkumi
penubuhan Unit Pelaksanaan Pendidikan atau Education Delivery Unit bagi memantau
dan menilai keberkesanan pelaksanaan transformasi pelan tersebut.
Tuan
Yang di-Pertua,
61. Pada pembentangan Bajet 2012, Kerajaan telah
menyediakan sebanyak 1 bilion ringgit di bawah Tabung Khas Pembinaan,
Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah khusus bagi keperluan mendesak untuk
membaik-pulih bangunan sekolah, penyelenggaraan, pembelian peralatan dan
pembinaan blok tambahan. Untuk meneruskan komitmen Kerajaan, sukacita saya
mengumumkan tambahan 1 bilion ringgit lagi kepada Tabung khas ini. Daripada
jumlah ini, 400 juta ringgit akan disalurkan kepada Sekolah Kebangsaan, 100 juta
ringgit kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 100 juta ringgit Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil, 100 juta ringgit Sekolah Mubaligh, 100 juta ringgit Sekolah
Agama Bantuan Kerajaan, 100 juta ringgit Sekolah Berasrama Penuh dan 100 juta
ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA.
Memperkukuh Pendidikan
Awal Kanak-Kanak
Tuan Yang di-Pertua,
62. Melangkah ke ruang
pendidikan awal kanak-kanak, kualiti pendidikan prasekolah amat penting sebagai
platform melengkapkan kanak-kanak dengan pendidikan asas. Untuk ini, sebanyak
1.2 bilion ringgit disediakan bagi tujuan pendidikan prasekolah termasuk kepada
Jabatan Kemajuan Masyarakat, Kementerian Pelajaran, PERMATA dan Jabatan
Perpaduan dan Integrasi Nasional. Sebagai tambahan, sebanyak 380 juta ringgit
disediakan di bawah Kementerian Pelajaran untuk penempatan guru
prasekolah.
63. Berhubung perkhidmatan taska dan pusat jagaan kanak-kanak
yang berkualiti pula, demi memastikan kanak-kanak mendapat penjagaan sempurna di
samping membangunkan perkembangan minda yang positif, Kerajaan mencadangkan
insentif-insentif berikut:
Pertama: Geran pelancaran 10 ribu
ringgit kepada penyedia Pusat Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) swasta untuk
membantu mereka membuka taska baru yang berkualiti. Dianggarkan 1,000 ECCE
swasta baru akan mendapat manfaat;
Kedua: Potongan cukai 2 kali ke
atas elaun atau subsidi yang diberi kepada pekerja dan perbelanjaan
penyelenggaraan kemudahan taska dan pusat jagaan kanak-kanak akan diberi kepada
majikan;
Ketiga: Pengecualian cukai pendapatan bagi tempoh 5 tahun
dan elaun bangunan industri pada kadar 10 peratus setahun diberi kepada
pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak swasta; dan
Keempat :
Pengecualian cukai pendapatan untuk tempoh 5 tahun dan elaun bangunan industri
pada kadar 10 peratus setahun kepada pengusaha pra-sekolah swasta.
64.
Pada masa ini, kita dapati ramai kanak-kanak kurang upaya dari keluarga
berpendapatan rendah yang tidak mendapat pendidikan awal kerana kekurangan taska
OKU. Untuk ini Kerajaan akan melaksanakan projek perintis taska OKU bagi 6
kategori kanak-kanak OKU yang merangkumi down syndrome, autisme, penglihatan,
pekak dan bisu, fizikal dan OKU masalah pembelajaran.
Latihan dan
Kemahiran
65. Berganjak kepada soal modal insan, yang berpengetahuan,
kreatif dan inovatif, program latihan akan dibentuk untuk mengasah kemahiran
baru selaras dengan keperluan industri masa depan ke arah ekonomi berpendapatan
tinggi dan maju. Bagi tujuan ini, pada tahun 2013, sejumlah 3.7 bilion ringgit
akan disediakan untuk melatih pelajar dalam bidang teknikal dan
vokasional.
66. Setiap tahun hampir 180 ribu graduan berkelulusan diploma
dan sarjana muda menamatkan pengajian daripada institusi pengajian tinggi. Untuk
membantu mereka yang masih menganggur, maka Kerajaan akan melancarkan Graduate
Employability Blueprint pada penghujung tahun 2012. Rangka kerja ini akan
memberi tumpuan untuk memperkukuh kebolehpasaran graduan. Dalam hal ini,
Kerajaan akan menubuhkan Graduate Employability Taskforce dengan peruntukan 200
juta ringgit.
67. Kerajaan telah melaksanakan Program Skim Latihan
1Malaysia atau dikenali sebagai SL1M yang bertujuan untuk meningkatkan tahap
kebolehpasaran graduan melalui latihan soft-skills dan on-job-training di
syarikat swasta melalui galakan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan
oleh pihak syarikat. Galakan ini telah diberi mulai 1 Jun 2012 sehingga tahun
2016.
68. Kerajaan juga memperuntukkan 440 juta ringgit kepada Perbadanan
Tabung Pembangunan Kemahiran bagi memberi pinjaman kepada pelatih untuk
menjalani latihan kemahiran. Langkah ini akan dapat memanfaatkan hampir 40 ribu
pelatih di peringkat Sijil Kemahiran Malaysia tahap 1 hingga 5. Kerajaan juga
memperuntukkan 366 juta ringgit bagi menaik taraf serta pembelian peralatan
Institut Latihan Perindustrian dan Institut Kemahiran Belia Negara.
69.
Pelbagai program latihan kemahiran akan dilaksanakan selaras dengan matlamat
mentransformasikan industri utama negara berteras kepada teknologi tinggi,
berinovatif serta berpendapatan tinggi. Ke arah ini, tumpuan akan diberi bagi
melahirkan tenaga kerja profesional dan berbakat di dalam industri terpilih
termasuk industri minyak dan gas, perkapalan, ICT, kreatif serta bioteknologi.
Bagi tahun 2013, dijangka seramai 5,000 pelatih akan menyertainya. Di samping
itu, Petronas akan menggunakan kemudahan Institut Kemahiran Belia Negara di
Pengerang, Johor untuk melatih seramai 300 orang belia menjelang akhir tahun ini
dalam bidang minyak dan gas bagi memenuhi keperluan projek RAPID.
70.
Kerajaan sedar tentang pelajar miskin masyarakat India, terutamanya dari
estet-estet yang tidak memperolehi keputusan yang baik dalam peperiksaan dan
tidak berpeluang untuk mendapat pekerjaan. Selaras dengan itu, Kerajaan akan
menyediakan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit untuk melatih 3,200 pelajar
masyarakat India bagi memperlengkapkan mereka dengan kemahiran, selaras
permintaan pasaran. Latihan ini akan dikendalikan oleh Institut Latihan
Perindustrian dan kolej-kolej di bawah Skim Latihan Dual Nasional.
71.
Bagi memastikan golongan pekerja swasta adalah sentiasa sihat dan produktif
dalam menyumbang kepada pembangunan syarikat dan ekonomi negara, aspek kesihatan
mesti diberi keutamaan. Untuk ini, PERKESO akan menyediakan peruntukan sebanyak
200 juta ringgit bagi membolehkan ahlinya seramai 1.4 juta orang menjalani
pemeriksaan kesihatan secara percuma di hospital Kerajaan atau klinik panel
PERKESO. Pemeriksaan kesihatan ini bertujuan untuk mengesan penyakit tidak
berjangkit, kepada semua pekerja yang berumur antara 40 hingga 55
tahun.
FOKUS KETIGA: MEMBUDAYA INOVASI, MENINGKAT
PRODUKTIVITI
Tuan Yang di-Pertua,
Harta Intelek (IP)
Sebagai Cagaran
72. Bagi membolehkan PKS menggunakan harta intelek
sebagai nilai komersial dan instrumen untuk mendapatkan pembiayaan memajukan
perniagaan, satu model penilaian harta intelek akan diwujudkan bagi membenarkan
ia dinilai secara komersial dan seterusnya digunakan sebagai cagaran memperoleh
pembiayaan dari institusi kewangan. Bagi maksud ini, langkah-langkah berikut
akan dilaksanakan:
Pertama: Mewujudkan skim Dana Pembiayaan Harta
Intelek berjumlah 200 juta ringgit. Skim ini akan ditawarkan oleh Malaysia Debt
Ventures. Kerajaan akan memberi subsidi kadar faedah sebanyak 2 peratus dan
jaminan sebanyak 50 peratus melalui Credit Guarantee Corporation;
dan
Kedua: Menyediakan peruntukan sebanyak 19 juta ringgit bagi
program latihan penilai harta intelek tempatan kendalian Perbadanan Harta
Intelek serta mewujudkan platform pasaran harta
intelek.
Penyelidikan dan Pembangunan
Tuan Yang
di-Pertua,
73. Aktiviti R&D pula akan terus diberi penekanan.
Pelbagai penemuan dan hasil R&D institusi penyelidikan awam berpotensi untuk
dikomersialkan. Maka, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 600 juta ringgit kepada 5
buah universiti penyelidikan bagi menjalankan penyelidikan berimpak tinggi dalam
bidang strategik seperti nano teknologi, automatif, bio-teknologi serta
aero-angkasa.
74. Untuk merancakkan aktiviti pengkomersialan penemuan
R&D institusi penyelidikan awam, Kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia
ada bagi pengkomersialan penemuan R&D berasaskan aktiviti sumber
diperluaskan kepada aktiviti berasaskan bukan sumber yang digalakkan di bawah
Akta Penggalakan Pelaburan 1986. Galakan cukai tersebut
adalah:
Pertama: Syarikat yang melabur dalam syarikat
subsidiarinya yang menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi
potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan yang dibuat dalam syarikat
subsidiari tersebut; dan
Kedua: Syarikat subsidiari yang
menjalankan aktiviti mengkomersialkan penemuan R&D diberi pengecualian cukai
pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun untuk tempoh 10
tahun.
Mempergiat Pelaburan Modal Teroka oleh Pelabur
Individu
75. Merujuk usahawan muda tempatan, sememangnya didapati
mereka mempunyai idea dan produk inovatif yang boleh diketengahkan ke peringkat
antarabangsa namun berhadapan sumber pembiayaan terhad. Oleh itu, sebagai sumber
pembiayaan alternatif, penglibatan secara langsung pelabur pemangkin atau angel
investors di peringkat awal perniagaan adalah amat penting bagi merealisasikan
pelaburan dan daya saing syarikat teroka. Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan
potongan cukai bersamaan jumlah pelaburan oleh pelabur pemangkin dalam syarikat
teroka dibenarkan ditolak daripada semua jenis
pendapatannya.
Menyemarak Inovasi Inklusif
Tuan Yang
di-Pertua,
76. Bagi memastikan pembangunan inklusif, Kerajaan akan terus
merancang dan melaksanakan program serta aktiviti berintensifkan pengetahuan,
kreativiti dan inovasi. Menuju ke tahun 2020, menjadi sebuah negara maju
berpendapatan tinggi, inovasi akan terus diperkukuh dan diarusperdanakan dalam
semua sektor dan segenap lapisan masyarakat. Melalui Bajet 2013, inisiatif ini
akan diambil oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan kerjasama
agensi Agensi Inovasi Malaysia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan
(NGO).
Pembangunan Teknologi Hijau
77. Dalam Bajet
2010, Kerajaan telah mewujudkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (SPTH) dengan
dana berjumlah 1.5 bilion ringgit untuk tempoh 3 tahun, yang akan berakhir pada
31 Disember 2012. Dana ini membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna
teknologi hijau membuat pinjaman mudah dengan Kerajaan menanggung subsidi 2
peratus daripada jumlah kadar faedah dan jaminan Kerajaan 60 peratus. Sehingga
kini, hampir 800 juta ringgit telah diluluskan kepada 50 syarikat tempatan. Bagi
merancakkan lagi pengeluaran dan penggunaan produk berasaskan teknologi hijau,
dana skim ini akan ditambah sebanyak 2 bilion ringgit dan tempoh permohonan skim
SPTH ini dilanjutkan untuk tempoh 3 tahun lagi iaitu sehingga 31 Disember
2015.
FOKUS KEEMPAT: KONSOLIDASI FISKAL DAN MEMPERCEKAP
PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM
Tuan Yang di-Pertua,
78.
Sesungguhnya, Kerajaan komited dalam memastikan defisit fiskal terus berkurangan
dan negara berada pada landasan yang betul bagi mencapai bajet berimbang. Dalam
hal ini, semua kementerian dan agensi perlu memastikan peruntukan mengurus dan
pembangunan dibelanjakan bagi perkara yang benar-benar perlu dan penting dalam
menyokong pelaksanaan dasar dan program negara.
79. Kerajaan akan
memastikan hutang Kerajaan Persekutuan tidak melebihi paras 55 peratus kepada
KDNK dan defisit fiskal terus berkurangan kepada 3 peratus menjelang 2015.
Antara langkah yang akan dan telah diambil termasuk memastikan kutipan hasil
ditingkatkan dengan mengukuhkan sistem percukaian dan memastikan semua perolehan
dan pembelian Kerajaan adalah berdasarkan prinsip value for money.
80.
Selain daripada peralihan sistem subsidi pukal kepada subsidi bersasar, kajian
semula sistem percukaian kebangsaan akan diteruskan bagi memastikan sistem cukai
negara akan lebih menggambarkan kedudukan kewangan setiap isi rumah. Peralihan
daripada sistem cukai berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih
menyeluruh serta saksama akan pada analisa akhirnya memanfaatkan semua rakyat
Malaysia.
81. Langkah ini tidak dilaksanakan secara tergesa-gesa mahupun
semberono tetapi setelah kajian teliti dan pelaksanaan penuh tertib. Ia tidak
akan mengesankan rakyat terbanyak khususnya golongan berpendapatan rendah serta
sederhana kerana perkara-perkara asas sama ada makanan, perumahan mahupun
pengangkutan awam akan terus dilindungi.
82. Pelaksanaan struktur baru
cukai ini sudah menjadi sebagai satu imperatif nasional bagi memastikan
kelestarian sistem kewangan negara terus utuh untuk generasi masa depan
Malaysia. Kerajaan tidak akan mengelak dari mengambil tindakan yang betul
walaupun ianya penuh liku.
83. Walau bagaimanapun, ruang masa yang
mencukupi akan tetap disediakan oleh Kerajaan agar semua pihak dapat membuat
persiapan yang sewajarnya. Penerimaan rakyat ke atas inisiatif baru ini akan
diperoleh dengan program penerangan, pendidikan serta rundingan secara
ekstensif.
Tuan Yang di-Pertua,
84. Dalam memberi perkhidmatan
terbaik, penjawat awam mesti menerapkan budaya produktiviti, kreativiti dan
inovasi. Amalan kerja pula mestilah cepat, tepat dan berintegriti. Langkah ini
akan mencetuskan paradigma baru dan seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat
terhadap prestasi perkhidmatan awam lebih efisien dan efektif serta lebih
responsif.
85. Kerajaan tidak lupa akan jasa pesara yang pernah
mencurahkan khidmat bakti dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara.
Sehubungan itu, Kerajaan akan menyelaras semula pencen pesara Kerajaan yang
telah berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun dengan menaikkan pencen minimum
daripada 720 ringgit kepada 820 ringgit. Pelarasan pencen ini akan mengambil
kira bayaran pencen bermula 1 Januari 2012. Langkah ini melibatkan seramai
50,371 pesara, termasuk penerima pencen terbitan, dengan peruntukan tambahan
sebanyak 60 juta ringgit setahun.
86. Sebagai pengiktirafan kepada
golongan warga emas, Kerajaan mencadangkan caj bayaran pemprosesan pasport
dikurangkan sebanyak 50 peratus iaitu daripada 300 ringgit kepada 150 ringgit
untuk tempoh sah laku 5 tahun. Manakala, bagi caj bayaran pengurusan pasport
untuk tempoh dua tahun dikurangkan kepada 80 ringgit. Pengurangan caj bayaran
pasport ini juga diperluaskan kepada kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah.
Kadar bayaran baru ini akan berkuat kuasa pada Januari
2013.
Penambahbaikan Skim Perkhidmatan Angkatan Tentera
Malaysia
Tuan Yang di-Pertua,
87. Bagi memastikan Angkatan
Tentera Malaysia mempunyai modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi,
serta merealisasikan visi dan hala tuju strategik ATM sesuai dengan keperluan
semasa, Kerajaan bersetuju untuk menambah baik skim perkhidmatan ATM. Sehubungan
itu, syarat lantikan bagi skim perkhidmatan ATM telah ditambah baik dengan
kelayakan masuk bagi pegawai ditingkatkan kepada Ijazah Sarjana Muda Kepujian
dan bagi askar laskar kelayakan masuk minimum ditingkatkan ke peringkat SPM dan
Diploma berdasarkan skop tugas.
88. Mengambil kira keunikan perkhidmatan
ATM,
Kerajaan bersetuju untuk meningkatkan peluang kenaikan pangkat anggota ATM
melalui kaedah kenaikan secara time-based anggota berpangkat prebet ke Lans
Koperal dan Lans Koperal ke Koperal dalam tempoh 8 tahun dengan memenuhi
syarat-syarat serta prestasi yang memuaskan. Ini adalah bagi meningkatkan
peluang kemajuan kerjaya serta motivasi anggota ATM. Usaha ini akan memberi
faedah kepada seramai 78,123 anggota dan melibatkan peruntukan sebanyak 107 juta
ringgit.
89. Di samping itu, Kerajaan juga bersetuju memberikan
bayaran
insentif khas dengan kadar 200 ringgit sebulan kepada semua pegawai dan anggota
ATM seramai 125,708 orang berkuat kuasa 1 Januari 2013. Langkah ini akan
melibatkan implikasi kewangan sebanyak 301 juta ringgit.
90. Kerajaan
menghargai peranan pasukan simpanan angkatan tentera sebagai pelengkap dan
sokongan kepada angkatan tetap ATM. Bagi menghargai sumbangan mereka, Kerajaan
bersetuju untuk menyelaras elaun khidmat bertugas daripada 4 ringgit sejam bagi
anggota biasa kepada 6 ringgit sejam dan bagi pegawai, RM5.80 sejam kepada
RM7.80 sejam melibatkan 65 ribu anggota simpanan angkatan tentera merangkumi
Askar Wataniah serta Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut dan Udara di seluruh
negara. Kadar baru ini telah pun dikuatkuasakan untuk RELA, JPAM dan PVR sebelum
ini.
91. Kerajaan juga tidak lupa jasa bakti pahlawan negara. Untuk
membantu bekas tentera yang bersara awal kerana berkhidmat kurang daripada 21
tahun serta tidak berpencen, Kerajaan bersetuju untuk memberi sumbangan sebanyak
1 ribu ringgit secara one-off kepada mereka. Peruntukan sebanyak 224 juta
ringgit yang melibatkan 224 ribu bekas tentera ini akan dikongsi bersama oleh
Kerajaan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.
92. Kerajaan juga akan
memperkenalkan Skim Perlindungan Insurans Berkelompok kepada anggota tentera dan
polis yang sedang berkhidmat dengan peruntukan 12 juta ringgit. Skim ini akan
memberi had perlindungan maksimum sehingga 15 ribu ringgit kepada hampir 242
ribu anggota tentera dan polis.
Tuan Yang di-Pertua,
93. Pada masa
ini, Kerajaan meminjam sebanyak 6 bilion ringgit setahun untuk membiayai
keperluan pinjaman perumahan penjawat awam yang diuruskan oleh Bahagian Pinjaman
Perumahan, Kementerian Kewangan. Sebagai sebahagian daripada usaha konsolidasi
fiskal dan mengurangkan beban tanggungan kewangan Kerajaan, BPP akan disusun
semula di mana Kerajaan akan melantik panel bank komersial untuk menguruskan
pinjaman perumahan Kerajaan yang baru berkuat kuasa Januari 2013. Segala manfaat
dan bantuan sedia ada yang dinikmati oleh penjawat awam akan tetap dikekalkan
malah ditambah baik. Penjawat awam masih tetap membayar 4 peratus kadar faedah
ke atas pinjaman perumahan.
94. Selain itu, pada masa ini, wang proses
yang dikenakan bagi setiap permohonan pinjaman perumahan penjawat awam adalah
sebanyak 1 ringgit bagi setiap 1,000 ringgit pinjaman yang dipohon bagi pinjaman
kali pertama dan 2 ringgit bagi pinjaman kali kedua. Bagi mengurangkan beban
kewangan dan memudahkan proses kelulusan pinjaman, Kerajaan bersetuju untuk
menetapkan wang proses ini pada kadar 100 ringgit bagi setiap permohonan tanpa
mengambil kira jumlah pinjaman yang dipohon.
95. Kerajaan turut memberi
perhatian untuk meringankan beban kos sara hidup bagi pelatih-pelatih yang
mengikuti kursus pra perkhidmatan di peringkat ijazah, diploma dan sijil. Dengan
ini, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun pra perkhidmatan yang melibatkan
31,135 pelatih. Skim perkhidmatan yang terlibat adalah Pegawai Perkhidmatan
Pendidikan Siswazah, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai
Perubatan, Penolong Pegawai Farmasi, Juru X-Ray, Jururawat, Jururawat Pergigian,
Jurupulih Perubatan, Juruteknologi Makmal Perubatan, Juruteknologi Pergigian,
Jururawat Masyarakat, Pembantu Kesihatan Awam dan Pembantu Pembedahan Pergigian.
Untuk ini, sebanyak 84.2 juta ringgit akan disediakan.
FOKUS
KELIMA: MENSEJAHTERAKAN RAKYAT
Tuan Yang di-Pertua,
96.
Kerajaan juga akan menyediakan 6 bilion ringgit pada tahun 2013 di bawah
Insentif Pembiayaan Swasta yakni PFI 2 untuk melaksanakan pelbagai projek dan
program untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi
negara. Antara projek yang telah dikenal pasti termasuk membaik pulih dan
menyelenggara sekolah serta klinik kesihatan, projek perumahan, projek tangki
air, rancangan tebatan banjir dan penyediaan kemudahan
sukan.
Mewujud Kejiranan Yang Selamat dan Harmoni
Tuan
Yang di-Pertua,
97. Kerajaan telah memperkenalkan langkah mengurangkan
kadar jenayah sebagai salah satu inisiatif di bawah NKRA. Usaha mengurangkan
kadar jenayah akan terus dipertingkatkan. Untuk tujuan ini, peruntukan sejumlah
591 juta ringgit akan disediakan bagi tahun 2013 untuk melaksanakan
langkah-langkah berikut:
Pertama : Menambah bilangan perjawatan baru
Polis DiRaja Malaysia pada 2013 untuk melaksanakan tugas-tugas rondaan dan
pencegahan jenayah serta menaik taraf infrastruktur dan menyediakan peralatan
moden;
Kedua: Menubuhkan Unit Rondaan Bermotosikal memantau kawasan
perumahan. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan 1,000 buah motosikal dengan
peruntukan sebanyak 20 juta ringgit;
Ketiga: Menambah bilangan ahli
Pasukan Sukarelawan Polis seramai 10,000 orang dengan peruntukan 70 juta ringgit
bagi membantu polis membanteras jenayah; dan
Keempat : Menambah
pemasangan Sistem Kamera Litar Tertutup atau CCTV sebanyak 496 unit di 25 buah
Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Tuan Yang
di-Pertua,
98. Kerajaan sedar akan tugas dan tanggungjawab berat pegawai
dan anggota Polis DiRaja Malaysia. Kepada warga PDRM saya mendengar rintahan
saudari dan saudari sekelian tentang beberapa anomali yang wujud terutamanya
dalam perjawatan untuk para pegawai. Kerajaan mendengar dan mengambil maklum
kita tidak sekali-kali mengambil mudah tentang soal ini. Kerajaan telahpun
mengarahkan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam agar kajian komprehensif dilakukan
untuk menambahbaik laluan kerjaya warga PDRM. kajian dan segala cadangan yang
dibuat hendaklah merundingi semua “stakeholder” dan hendaklah diselesaikan dalam
masa secepat mungkin.
99. Kerajaan komited memastikan setiap rakyat yang
dituduh di mahkamah mempunyai pembelaan sesuai dengan hak mereka yang dijamin
oleh Perlembagaan dan telah memberi geran pelancaran sebanyak 14 juta ringgit
kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. Kerajaan dengan ini menambah 20 juta
ringgit lagi peruntukan untuk tahun 2013.
Tuan Yang
di-Pertua,
100. Penglibatan swasta dan komuniti setempat secara
menyeluruh bersama Kerajaan adalah penting bagi memastikan Malaysia menjadi
sebuah negara yang selamat. Sehubungan itu, Kerajaan akan melaksanakan
inisiatif-inisiatif berikut:
Pertama : Menyokong peranan persatuan
penduduk bagi tujuan menggalakkan aktiviti rondaan di kawasan kejiranan. Untuk
ini, Kerajaan bercadang memberi geran berjumlah 10,000 ringgit kepada 4,025
persatuan penduduk yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan
Malaysia, dengan kos sebanyak 40 juta ringgit;
Kedua :
Mempertingkatkan peranan rukun tetangga dalam membantu menjaga keselamatan
kawasan perumahan. Untuk ini, Kerajaan mensasarkan 6,500 penubuhan kawasan rukun
tetangga menjelang tahun 2013. Kerajaan akan memperuntukkan 39 juta ringgit bagi
membiayai aktiviti KRT;
Ketiga : Menyediakan sepasang pakaian
seragam untuk 300,00 anggota RELA yang aktif dengan peruntukan sebanyak 90 juta
ringgit; dan
Keempat : Tolakan sepenuhnya perbelanjaan pemasangan
alat kawalan keselamatan bagi syarikat-syarikat dalam tahun yang sama ia
dibelanjakan, berbanding dengan tolakan semasa iaitu 8 tahun, di bawah galakan
Elaun Modal Dipercepatkan. Kerajaan juga bersetuju galakan yang menarik ini
turut diberi kepada syarikat pemaju perumahan.
Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia
Tuan Yang di-Pertua,
101. Pastinya,
Kerajaan terus komited untuk membasmi gejala rasuah. Bagi tahun 2013, sebanyak
276 juta ringgit akan diperuntukkan kepada SPRM bagi membanteras rasuah. Untuk
ini, Kerajaan bersetuju menambah sebanyak 150 perjawatan tambahan setiap tahun
sehingga mencapai 5,000 anggota. Langkah ini diharap akan dapat menyokong usaha
Kerajaan memperbaiki kedudukan negara dalam Indeks Persepsi
Rasuah.
Memacu Transformasi Komuniti
Tuan Yang
di-Pertua,
102. Kerajaan telah melancarkan Program Transformasi Luar
Bandar atau RTP bagi mengukuhkan pembangunan kawasan luar bandar. Untuk komuniti
di bandar pula, sukacita saya mengumumkan Program Transformasi Bandar atau UTP.
Sejumlah 200 juta ringgit akan disediakan bagi maksud ini. Bagi memastikan
penyelarasan strategik di antara RTP dan UTP, National Strategic Coordination
Unit akan diwujudkan di bawah Kementerian Kewangan.
103. Urban
Transformation Program adalah inisiatif Kerajaan dalam pembangunan komuniti
bandar bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan Kerajaan dan swasta yang
efisien, cepat dan mudah diakses. UTC dilaksanakan dengan mengubahsuai bangunan
Kerajaan sedia ada yang kosong atau mengoptimumkan penggunaan bangunan dengan
kos yang minimum. Sebagai contoh, di UTC, rakyat boleh membuat pasport dalam
tempoh satu jam sahaja, membayar zakat, bil utiliti, cukai pintu, membeli kain
dan buku serta menjalankan aktiviti riadah seperti futsal dan gim. Keunikan UTC
ini, ia beroperasi bermula dari 8.30 pagi hingga 10 malam, 7 hari
seminggu.
104. Di bawah UTP, Kerajaan telah melancarkan 2 Pusat
Transformasi Bandar atau UTC iaitu di Melaka dan Kuala Lumpur. Terkini, UTC KL
telah menerima purata seramai 4,000 orang sehari. Pelaksanaan UTC akan
diperhebatkan dan dilaksanakan secara berperingkat di 6 bandar utama, iaitu Alor
Setar, Kuantan, Ipoh, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan
Kuching.
Program Transformasi Luar Bandar
105. Di luar
bandar, Kerajaan telah membuka pula Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC di
Gopeng, Perak dan Wakaf Che Yeh, Kelantan bagi menyediakan sebuah pusat
integrasi perkhidmatan meliputi pengumpulan, pemprosesan dan pengedaran hasil
pengeluaran pertanian, perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan,
latihan dan kemahiran, klinik serta ruang niaga. Berdasarkan manfaat yang
diterima, Kerajaan akan terus memperluaskan RTC ke Melaka, Johor, Pahang, Sabah
dan Sarawak. Selain itu, Kerajaan juga akan menaik taraf Medan Info Desa seluruh
negara sebagai Mini-RTC.
Pembangunan Luar Bandar dan Masyarakat
Orang Asli
106. Kawasan luar bandar akan terus dibangunkan bagi
mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar. 4.5 bilion ringgit akan
disediakan bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan pada tahun 2013
termasuk:
Pertama : Sebanyak 1.2 bilion ringgit disediakan untuk
melaksanakan 441 kilometer projek jalan luar bandar dan jalan perhubungan desa
yang memanfaatkan 220 ribu penduduk;
Kedua : Sebanyak 1.6 bilion
ringgit diperuntukkan untuk projek infrastruktur utiliti luar bandar bagi projek
bekalan air kepada 24 ribu buah rumah dan projek penyambungan bekalan elektrik
kepada 19 ribu buah rumah;
Ketiga : Sebanyak 137 juta ringgit
diperuntukkan bagi membiayai Program Desa Lestari melibatkan 29 buah kampung di
seluruh negara dan memanfaatkan 38 ribu penduduk. Program utama termasuk menaik
taraf kilang pemprosesan hasil laut dan makanan, pembinaan jeti baru, pembinaan
pusat pemasaran serta menambah baik pakej dan aktiviti homestay serta
rekreasi;
Keempat : Sebanyak 88 juta ringgit diperuntukkan bagi
melaksanakan program pembangunan ekonomi dan projek bekalan air bagi masyarakat
Orang Asli; dan
Kelima : Sebanyak 100 juta ringgit bagi membekal
40 ribu tangki air menggunakan kaedah tadahan air hujan khususnya di kawasan
pedalaman di Sabah dan Sarawak.
Kesihatan Asas
Kesejahteraan
Tuan Yang di-Pertua,
107. Kerajaan akan terus
memastikan rakyat dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang memuaskan. Bagi
tahun 2013, Kerajaan memperuntukkan sebanyak 19.3 bilion ringgit untuk
perkhidmatan mengurus dan pembangunan.
108. Pembukaan Klinik 1Malaysia
telah mendapat sambutan baik dan memberi manfaat dalam meringankan kos rawatan
selain memudahkan akses bagi mendapatkan rawatan. Justeru, Kerajaan akan
memperuntukkan 20 juta ringgit bagi membuka tambahan 70 klinik pada tahun 2013.
Klinik 1Malaysia juga akan mula menyediakan perkhidmatan ujian kolesterol dan
glukosa serta ujian urin kepada mereka yang memerlukan. Selain itu, sebanyak 100
juta ringgit akan diperuntukkan untuk membaik pulih 350 klinik di seluruh
negara, di samping menambah 150 buah mesin dialisis di pusat hemodialisis
Kerajaan seluruh negara.
Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat
Tuan Yang di-Pertua,
109. Memang benar, wanita
bukan sahaja penting dalam pembentukan keluarga bahagia malah turut menyumbang
kepada pembangunan ekonomi negara. Untuk itu, Kerajaan memperuntukkan 50 juta
ringgit bagi menyokong dwi peranan wanita ini dengan melaksanakan
langkah-langkah berikut:
Pertama : Seramai 500 wanita akan dilatih
di bawah Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai ahli lembaga
pengarah syarikat;
Kedua : Program Inkubator Keusahawanan Ibu
Tunggal (I-KIT) akan dipertingkatkan untuk memberi khidmat nasihat dan latihan
kepada ibu tunggal dalam bidang keusahawanan; dan
Ketiga : Program
Get Malaysian Business Online (GMBO) bagi membantu 50 ribu usahawan kecil,
terutamanya wanita melonjakkan perniagaan dengan meningkatkan jualan secara atas
talian dengan geran seribu ringgit melalui peruntukan 50 juta ringgit oleh SKMM.
Keempat : Peruntukan sebanyak 25 juta ringgit untuk kemudahan
pemeriksaan percuma ujian Mamogram. Langkah ini dijangka dapat memanfaatkan
seramai 100 ribu wanita berumur 40 tahun dan ke atas.
110. Sesungguhnya
Kerajaan amat menitikberatkan golongan yang kurang bernasib baik dan
berpendapatan rendah dalam memastikan mereka ini tidak ketinggalan dalam arus
pembangunan negara. Justeru, program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KAR1SMA di
bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan
sebanyak 1.2 bilion ringgit meliputi program bantuan warga emas, bantuan
kanak-kanak, elaun pekerja orang kurang upaya serta bantuan penyakit
kronik.
111. Kerajaan telah melancarkan program 1AZAM atau Akhiri Zaman
Miskin yang bertujuan menyediakan peluang menjana pendapatan kepada golongan
berpendapatan rendah. Antara program di bawah inisiatif ini adalah Azam Kerja,
Azam Tani, Azam Niaga dan Azam Khidmat. Untuk ini, Kerajaan memperuntukkan
sejumlah 400 juta ringgit yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 58,330
peserta.
112. Selain itu, Kerajaan telah menyediakan 2 pusat Anjung
Singgah bertujuan untuk menempatkan warga emas, kanak-kanak jalanan dan mereka
yang memerlukan tempat tinggal sementara sebelum mereka mendapat pekerjaan atau
kemudahan tempat tinggal yang tetap. Seterusnya, Kerajaan menambah lagi 6 pusat
Anjung Singgah. Kerajaan juga akan mewujudkan 5 Anjung Kasih di Hospital Sibu,
Miri, Temerloh, Seremban dan Ipoh bagi menyediakan tempat penginapan sementara
dan selesa kepada pesakit miskin atau ahli keluarga yang mengiringi pesakit yang
sedang menerima rawatan di hospital Kerajaan.
Belia dan
Sukan
Tuan Yang di-Pertua,
113. Sukan adalah pemangkin
perpaduan nasional yang terbaik kerana melibatkan semua golongan masyarakat.
Nama-nama seperti Lee Chong Wei, Nicol Anne David, Pandelela Rinong, Azizulhasni
Awang dan Muhamad Ziyad adalah antara hero dan heroin sukan yang dikagumi.
Kejayaan dan pencapaian mereka di peringkat antarabangsa cukup membanggakan.
Kerajaan sentiasa memberi penekanan dalam memastikan pembangunan sukan
dilaksanakan secara berterusan. Untuk itu, bagi tahun 2013 sebanyak 738 juta
ringgit diperuntukkan bagi pembangunan belia dan sukan.
114. Kerajaan
akan memperuntukkan 15 juta ringgit bagi mempersiapkan para atlet ke kejohanan
sukan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2013, Sukan Para ASEAN 2013, Sukan
Komanwel serta Sukan Asia tahun 2014. Sebagai tambahan juga, 50 juta ringgit
lagi diperuntukkan untuk tempoh 4 tahun khusus bagi persiapan Sukan Olimpik Rio
2016 di bawah program Road to Rio.
115. Bagi menggalakkan perkembangan
sukan lumba basikal dan badminton, Kerajaan akan membina sebuah velodrom
tertutup di Seremban dan Akademi Badminton di Bukit Kiara dengan peruntukan
sebanyak 80 juta ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
116. Dalam usaha
melahirkan generasi belia yang berpersonaliti tinggi, berintegriti, kreatif dan
berinovasi serta berdaya saing, Kerajaan melancarkan program Y-Creative yang
melibatkan persatuan belia di seluruh negara. Kerajaan juga akan menganjurkan
Festival Belia Putrajaya yang merupakan perhimpunan belia terbesar negara
bersempena dengan perisytiharan tahun 2013 sebagai tahun kesukarelaan
nasional.
117. Bagi membantu usahawan muda dalam bidang ICT, sebuah
yayasan dengan nama New Enterpreneur Foundation akan ditubuhkan dengan
peruntukan permulaan sebanyak 50 juta ringgit. NEF akan menjadi platform bagi
program latihan dan bimbingan.
118. Selain itu, Young Entrepreneur Fund
juga diwujudkan dengan peruntukan sebanyak 50 juta ringgit akan disediakan oleh
SME Bank. Dana pinjaman mudah ini adalah untuk belia berumur 30 tahun ke bawah
dengan subsidi kadar faedah pinjaman sebanyak 2 peratus dan had maksimum
pinjaman sebanyak 100 ribu ringgit serta tempoh bayaran balik selama 7
tahun.
119. Kerajaan mengiktiraf peranan belia dalam mengaspirasikan
pembangunan negara. Untuk itu, Kerajaan akan melancarkan Pertandingan Lautan
Biru 1Malaysia For Youth atau 1M4U untuk mereka mempersembahkan idea-idea
kreatif dan inovatif menerusi pertandingan di peringkat tempatan, negeri dan
kebangsaan. 3 idea terbaik akan diberikan peruntukan daripada Dana Sukarelawan
1Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
120. Sebahagian besar daripada 22
peratus rakyat Malaysia yang menggunakan telefon pintar untuk melayari internet
adalah golongan belia. Oleh itu, bagi membuka akses golongan muda kepada
lebuhraya maklumat, satu pakej khas akan diperkenalkan oleh kerajaan melalui
kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta syarikat
telekomunikasi. Melalui Pakej Komunikasi Belia, rebat 200 ringgit akan diberi
secara one-off bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G melalui
pengedar-pengedar rasmi. Ia terbuka kepada belia yang berumur 21 hingga 30 tahun
berpendapatan bulanan 3,000 ringgit dan ke bawah. Sebanyak 300 juta ringgit
telah disediakan dan akan memanfaatkan 1.5 juta belia.
Mengiktiraf
Karyawan dan Seniman
Tuan Yang di-Pertua,
121. Menjengah
peranan karyawan, budayawan dan seniman dalam proses pembangunan negara, kita
maklum bahawa kemajuan Malaysia tidak diukur semata-mata pada pendapatan
perkapita dan pertumbuhan ekonomi. Ia turut diukur menggunakan pelbagai dimensi.
Para karyawan memainkan peranan penting dalam meningkatkan peradaban nasional.
Sebagai menghargai peranan mereka ini, Kerajaan bersetuju memperuntukkan
sejumlah 6 juta ringgit sebagai bantuan pentadbiran dan kegiatan kepada semua
persatuan yang berdaftar.
Memperluas Jaringan Pengangkutan Awam
Bandar
Tuan Yang di-Pertua,
122. Bercakap pula ehwal
perkhidmatan pengangkutan awam yang baik, ia adalah nadi kepada pembangunan
sesebuah komuniti. Lanjutan daripada kejayaan pengenalan RapidKL dan
RapidPenang, Kerajaan akan melancarkan RapidKuantan mulai 1 Disember 2012 bagi
menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas berkualiti di Kuantan yang dapat
memanfaatkan rakyat teramai. Syarikat Prasarana juga dalam proses untuk
memperluaskan perkhidmatan ini di bandar lain seperti Ipoh, Seremban, Kuching
dan Kota Kinabalu.
123. Kerajaan memandang serius kepentingan
pengangkutan bagi orang ramai terutamanya mereka yang tinggal dan bekerja di
bandar besar. Pada masa ini, golongan OKU, pesara dan pelajar telah menikmati
diskaun 50 peratus kadar tambang apabila menggunakan perkhidmatan komuter KTMB.
Sebagai lanjutan, suka saya mengumumkan, bahawa Kerajaan bersetuju untuk
memperluaskan diskaun 50 peratus kadar tambang ini, kepada semua warganegara
Malaysia yang berpendapatan 3,000 ringgit dan ke bawah.
Perumahan
untuk Rakyat
Tuan Yang di-Pertua,
124. Kerajaan sedar,
perumahan selesa dan mampu milik adalah keperluan asas paling utama kepada
rakyat. Kerajaan komited untuk memastikan setiap rakyat Malaysia berpeluang
untuk memiliki rumah mereka sendiri. Ini bukan sahaja satu imperatif yang
bersifat ekonomi, malahan ia adalah imperatif moral bagi sebuah Kerajaan yang
bertanggungjawab. Oleh itu, Kerajaan akan menjadikan hasrat ini sebagai prioriti
berterusan. Bagi tahun 2013 sahaja, suka saya umumkan, Kerajaan akan
memperuntukkan 1.9 bilion ringgit bagi membina 123 ribu unit rumah dengan harga
berpatutan di kawasan-kawasan strategik. Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh
PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad dan Jabatan Perumahan
Negara.
125. Sebanyak 500 juta ringgit akan dibelanjakan oleh PR1MA untuk
membina 50 ribu unit rumah di bandar-bandar utama di seluruh negara dengan harga
jualan antara 100 hingga 400 ribu ringgit seunit. Antara bandar-bandar utama
tersebut adalah Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bharu, Seremban dan
Kuantan.
126. Di samping itu, PR1MA juga akan menyediakan Dana Pemudah
Cara Perumahan berjumlah 500 juta ringgit untuk membina 30 ribu unit rumah
secara usaha sama dengan pemaju perumahan swasta. Harga rumah yang ditawarkan di
bawah program ini adalah 20 peratus lebih rendah berbanding dengan harga di
pasaran dan proses pengagihan rumah akan dilaksanakan secara sistem pengundian
terbuka.
127. Manakala sebanyak 320 juta ringgit diperuntukkan melalui
SPNB untuk membina sebanyak 22,855 unit kediaman termasuk apartmen kos rendah
dan sederhana, rumah mesra rakyat serta rumah mampu milik. Projek perumahan SPNB
yang akan dilaksanakan segera termasuk membina sebanyak 1,855 unit apartmen kos
sederhana dengan keluasan 850 kaki persegi di Shah Alam dan Sungai Buloh. Unit
kediaman ini akan dijual pada harga sekitar 120 ribu hingga 220 ribu ringgit
seunit.
128. Bagi program Rumah Mesra Rakyat pula, SPNB akan membina
sebanyak 21,000 unit rumah untuk tahun 2013. Di bawah program ini, SPNB akan
membina rumah berharga 65 ribu ringgit dengan subsidi sebanyak 20 ribu ringgit
serta subsidi kadar faedah ke atas pinjaman sebanyak 2 peratus.
129.
Selain itu, peruntukan sejumlah 543 juta ringgit akan disediakan bagi Jabatan
Perumahan Negara melaksanakan 45 projek di bawah Program Perumahan Rakyat
melibatkan 20,454 unit rumah yang akan dibina menggunakan kaedah Industrialised
Building System. Kesemua unit kediaman ini akan dijual antara 30 hingga 40 ribu
ringgit seunit berbanding harga pasaran sekitar 120 ribu ringgit seunit. 20
peratus daripada keseluruhan unit rumah PPR kepada penjawat awam dan sebahagian
kepada golongan OKU.
130. Bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia
memiliki rumah yang pertama, Skim Rumah Pertamaku yang telah dilancarkan melalui
bajet yang lalu, akan ditambah baik dengan meningkatkan had pendapatan peminjam
perseorangan daripada 3,000 ringgit kepada 5,000 ringgit sebulan atau 10,000
ringgit sebulan bagi pinjaman bersama suami isteri. Di samping itu, syarat
keperluan simpanan 3 bulan deposit serta tempoh minimum bekerja 6 bulan juga
akan dimansuhkan.
Tuan Yang di-Pertua,
131. Dalam Bajet 2009,
Kerajaan telah pun memberi pengecualian duti setem 50 peratus ke atas surat cara
perjanjian pindah milik dan pinjaman sebuah rumah kediaman pertama yang berharga
sehingga 350 ribu ringgit. Kerajaan bercadang melanjutkan pengecualian duti
setem sedia ada sehingga 31 Disember 2014 dengan had kelayakan harga rumah
dinaikkan sehingga 400 ribu ringgit.
Kajian Semula Cukai
Keuntungan Hartanah
132. Menyangkut hal penawaran hartanah yang
terhad terutamanya di kawasan bandar, ia membuka ruang kepada aktiviti
spekulasi. Dengan itu, Kerajaan mencadangkan cukai keuntungan harta tanah (CKHT)
ke atas keuntungan pelupusan hartanah yang dibuat dalam tempoh tidak melebihi
dua tahun dari tarikh perolehan hartanah berkenaan, dikenakan pada kadar 15
peratus dan 10 peratus bagi pelupusan hartanah dalam tempoh 2 hingga 5 tahun.
Bagi hartanah yang dilupuskan selepas tempoh 5 tahun daripada tarikh
perolehannya, CKHT tidak dikenakan. Sementelahan itu, keuntungan daripada
pelupusan sebuah rumah kediaman sekali dalam seumur hidup dan pelupusan hartanah
atas dasar kasih sayang antara suami dan isteri, ibu bapa dan anak, datuk atau
nenek dan cucu dikecualikan daripada CKHT.
Galakan Cukai untuk
Memulih Projek Perumahan Terbengkalai
133. Selanjutnya, bagi tahun
2013, Kerajaan memperuntukkan 100 juta ringgit kepada Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan yang dijangka dapat memulihkan 30 projek rumah terbengkalai.
Sebagai tambahan untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta, Kerajaan akan
menyediakan insentif cukai seperti berikut:
Pertama: Institusi
perbankan diberi pengecualian cukai ke atas pendapatan faedah yang diterima
daripada kontraktor penyelamat;
Kedua : Kontraktor penyelamat
diberi potongan cukai 2 kali ke atas bayaran faedah dan semua kos langsung dalam
mendapatkan pinjaman;
Ketiga : Kontraktor penyelamat diberi
pengecualian duti setem ke atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi
tujuan pindah milik tanah atau rumah dan surat cara pinjaman bagi membiayai kos
pemulihan; dan
Keempat : Pembeli asal rumah terbengkalai diberi
pengecualian duti setem ke atas semua jenis surat cara yang disempurnakan bagi
tujuan mendapat pembiayaan tambahan dan pindah milik
rumah.
Bantuan dan Insentif Rakyat
Tuan Yang
di-Pertua,
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
134.
Sesungguhnya, Kerajaan ini adalah Kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat.
Kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat adalah objektif tertinggi. Kerajaan
ini tidak akan sekali-kali melakukan sebarang tindakan yang akan membahayakan
masa depan orang ramai. Bukan seperti sesetengah pihak, yang sanggup mengatakan
apa sahaja, ini percuma, itupun percuma, hutang tak perlu bayar, hatta
menjanjikan syurga semata-mata untuk berkuasa. Namun, saya selaku Menteri
Kewangan, tidak akan menyembunyikan kebenaran, sekalipun ia pahit. Pendek kata,
Kerajaan ini tidak akan mengaburi mata rakyat.
135. Menyedari hakikat
inilah, Kerajaan sedang melaksanakan inisiatif rasionalisasi subsidi dan
mengalih secara berperingkat kaedah pemberian subsidi daripada subsidi pukal
yang membawa kepada banyak ketirisan dan sehingga orang yang berada pun
memperoleh, kepada subsidi yang bersasar. Di bawah prinsip ini, subsidi akan
diteruskan tetapi akan diberi hanya kepada kelompok yang betul-betul
memerlukannya. Hakikatnya, jika Kerajaan terus memberi subsidi secara pukal, ia
akan menghancurkan kedudukan kewangan negara sehingga akhirnya rakyat menanggung
akibat, seperti mana yang berlaku di sesetengah negara di dunia. Sebagai sebuah
Kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak rela perkara tersebut
berlaku.
136. Bersesuaian dengan peralihan kepada dasar pelaksanaan
subsidi bersasar, Kerajaan komited bagi memastikan setiap segmen rakyat Malaysia
dapat mengongsi kemakmuran negara. Ini hanya akan berlaku, sekiranya ekonomi
nasional terus tumbuh secara mapan dan kekayaan negara dapat terus dijana.
Sukacita saya mengumumkan
pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M 2.0.
Kriteria penerima tetap sama iaitu ketua isi rumah yang berpendapatan 3,000
ringgit dan ke bawah. Sebagai tambahan, sukacita juga saya mengumumkan pemberian
BR1M 2.0 ini diperluaskan kepada individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas
yang berpendapatan tidak melebihi 2 ribu ringgit sebulan. Pemberian bantuan
kepada individu bujang ini adalah sebanyak 250 ringgit.
137. Hakikatnya,
bantuan kepada isi rumah dan individu bujang ini bukanlah satu langkah populis
malah manifestasi sebuah Kerajaan bertanggungjawab dan mampu mengurus kewangan
negara dengan berhemah. Ia memanfaatkan 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu
bujang melibatkan peruntukan 3 bilion ringgit. Ia akan dibayar mulai awal tahun
2013. Bagi memudahkan pelaksanaan, penerima BR1M sedia ada tidak lagi perlu
mendaftar untuk kali kedua manakala pemohon baru boleh mula mendaftar mulai
November 2012 secara atas talian atau melalui kaunter di Pejabat Pembangunan
Negeri, Pejabat Daerah dan pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri seluruh
negara.
Tuan Yang di-Pertua,
138. Gula yang diambil secara
berpatutan adalah baik, namun sekiranya diambil secara berlebihan ia mampu
menjadi racun. Setakat ini, sekitar 2.6 juta rakyat Malaysia mengidap diabetes.
Oleh itu, Kerajaan bercadang mengurangkan subsidi gula sebanyak 20 sen
sekilogram mulai 29 September 2012. Kerajaan menyeru kepada para peniaga bahawa
janganlah membebankan saudara se-Malaysia dengan kenaikan harga. Sebaliknya
kurangkanlah kandungan gula.
139. Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan
masih lagi menanggung subsidi gula sebanyak 34 sen satu kg yang melibatkan
perbelanjaan sebanyak 278 juta ringgit. Malah pengurangan subsidi ini disokong
oleh persatuan-persatuan pengguna dan pengamal kesihatan.
140.
Selanjutnya, untuk menampung perbezaan harga dan kuota penggunaan minyak masak
yang semakin meningkat, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 1.5 bilion
ringgit bagi menstabilkan harga minyak masak di
pasaran.
Penyeragaman Harga
Tuan Yang
di-Pertua,
141. Secara umumnya, harga barangan keperluan di Sabah dan
Sarawak adalah lebih mahal berbanding di Semenanjung Malaysia disebabkan kos
penghantaran dan pengagihan yang lebih tinggi. Bagi memastikan kos dan harga
barangan dapat dikurangkan, Kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif
termasuk Program Penyeragaman Harga, pemberian subsidi pengangkutan serta
pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia. Untuk ini, Kerajaan akan memperuntukkan
sebanyak 386 juta ringgit bagi memastikan harga barangan keperluan di Sabah dan
Sarawak serta Labuan dijual pada harga yang lebih rendah dan lebih seragam
dengan membuka sebanyak 57 buah KR1M dan menanggung kos penghantaran produk dari
Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak serta Labuan termasuk penghantaran ke
kawasan pedalaman. Sebagai contoh di Ba’kalalan, Sarawak, harga gas memasak 14
kg setong dijual pada harga RM70. Dengan program penyeragaman harga, gas memasak
tersebut boleh dibeli hanya dengan RM26.60 setong.
142. Sebagai tambahan,
bagi meringankan beban rakyat yang berulang alik menggunakan perkhidmatan feri
dari Labuan ke Sabah dan Sarawak, Kerajaan akan memberi diskaun tambang kepada
semua penumpang sebanyak 50 peratus. Di samping itu, diskaun sebanyak 50 peratus
turut diberi ke atas tambang feri untuk kenderaan komersial yang mengangkut
barang keperluan asas dan binaan ke Labuan.
Mempermudah Ibadah
Haji
143.
Sekali lagi kita memasuki musim panggilan Haji menuju
Baitullah. Dalam Bajet 2012, saya telah mengumumkan pencarum KWSP boleh membuat
pendaftaran awal menunaikan rukun ke 5 ini melalui penghadangan Akaun 2 sebanyak
1,300 ringgit. Alhamdulillah, setakat ini, seramai 51,528 pencarum telah
menggunakan inisiatif ini. Sebagai langkah tambahan untuk membantu bakal-bakal
haji, saya ingin mengumumkan bahawa bakal-bakal haji yang mencarum di KWSP, kini
dibenarkan mengeluarkan simpanan dari Akaun 2 mereka bagi menampung kekurangan
kos tambang. Inisiatif ini terhad kepada jemaah muassasah dengan maksimum
pengeluaran sehingga 3 ribu ringgit.
Kajian Semula Cukai
Pendapatan Individu dan Koperasi
144. Kerajaan prihatin ke atas
peningkatan kos sara hidup rakyat serta tanggungan cukai pendapatan mereka.
Kerajaan telah pun menyediakan sebanyak 20 jenis pelepasan cukai individu dan 2
rebat cukai. Berikutan pelepasan dan rebat cukai ini, hanya 1.7 juta orang
sahaja yang perlu membayar cukai berbanding keseluruhan guna tenaga iaitu
seramai 12 juta orang.
145. Dalam proses peralihan daripada sistem cukai
sedia ada yang berasaskan pendapatan kepada sistem cukai yang lebih adil dan
saksama, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan individu diturunkan 1 mata
peratusan bagi setiap kumpulan pendapatan bercukai tahunan melebihi 2,500
ringgit sehingga 50 ribu ringgit. Langkah ini akan mengeluarkan seramai 170 ribu
pembayar cukai daripada membayar cukai serta pembayar cukai pendapatan sedia ada
juga menikmati penjimatan bayaran cukai mereka. Sebagai contoh, golongan
profesional muda yang belum berkahwin dengan pendapatan bulanan 5 ribu ringgit,
akan menikmati penjimatan cukai pendapatan sehingga 425 ringgit
seorang.
146. Pada masa yang sama, bagi terus memacu transformasi gerakan
koperasi, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan koperasi juga dikurangkan
antara 1 hingga 7 mata peratusan di semua kumpulan pendapatan bercukai. Dengan
ini, seramai 7 juta ahli koperasi akan menikmati manfaat sebagai galakan untuk
meningkatkan keupayaan keusahawanan dalam bidang perniagaan.
Meringankan Beban Pengusaha Bas Sekolah
Tuan Yang
di-Pertua,
147. Kerajaan mengambil berat akan keselamatan anak-anak yang
menaiki bas ke sekolah dan pemandu-pemandu bas berikutan kualiti segelintir bas
sekolah yang kurang memuaskan. Keadaan ini disebabkan pengusaha bas sekolah
tidak dapat menampung beban kos penyelenggaraan yang semakin meningkat sedangkan
sebahagian besar bas yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi. Untuk
itu, Kerajaan mencadangkan pengusaha bas sekolah diberi pertamanya, pemberian
rebat tunai 10 ribu ringgit dan subsidi kadar faedah 2 peratus ke atas pinjaman
penuh untuk menggantikan bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas
baru yang berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk. Skim pinjaman ini diuruskan
oleh BSN ditawarkan untuk tempoh permohonan 2 tahun bermula 1 Januari
2013.
148. Keduanya, penyediaan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan
Diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang
menggunakan perkhidmatan bas sekolah berpermit. Usaha ini akan memanfaatkan
seramai 2 juta pelajar dengan perlindungan maksimum sebanyak 100 ribu ringgit
dan kos premium sebanyak 40 juta ringgit untuk tempoh 2 tahun yang akan diselia
oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat.
Mengurangkan Kos
Pembelajaran Pelajar
149. Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan
pelajar terutama mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.
Kerajaan sentiasa menyediakan peruntukan khusus kepada pelajar sekolah rendah
dan menengah yang merangkumi bantuan geran per kapita, bantuan makanan asrama,
Rancangan Makanan Tambahan, pembelian buku teks dan bantuan bayaran tambahan
persekolahan. Untuk ini, sebanyak 2.6 bilion ringgit diperuntukkan pada tahun
2013.
150. Pada pembentangan Bajet 2012, saya telah mengumumkan bantuan
persekolahan 100 ringgit kepada semua pelajar sekolah rendah dan menengah. Bagi
meringankan beban persekolahan keluarga berpendapatan rendah dan sederhana,
Kerajaan sekali lagi akan meneruskan pemberian bantuan persekolahan 100 ringgit
kepada pelajar sekolah rendah dan menengah. Bantuan ini akan dibayar mulai
Januari 2013 dan bermanfaat kepada 5.4 juta pelajar melibatkan peruntukan
sebanyak 540 juta ringgit.
151. Kerajaan akan meneruskan program
Baucar
Buku 1Malaysia kepada setiap pelajar IPT dan pra-universiti. Suka saya
mengumumkan, bahawa nilai baucar akan ditingkatkan daripada 200 ringgit kepada
250 ringgit. Langkah ini melibatkan peruntukan 325 juta ringgit dan akan
memanfaatkan seramai 1.3 juta pelajar di seluruh negara.
152. Kerajaan
juga amat prihatin akan bebanan kos pendidikan tinggi anak-anak. Bagi membantu
meringankan tanggungan kewangan ibu bapa, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai
sedia ada bagi pendidikan tinggi anak-anak sebanyak 4,000 ringgit seorang
sekarang ini, dinaikkan kepada 6,000 ringgit mulai tahun taksiran 2013. Langkah
ini menunjukkan komitmen dan tumpuan Kerajaan ke atas pelaburan bagi
meningkatkan tahap pendidikan generasi muda yang akan memberi manfaat kepada
negara pada masa hadapan.
153. Bagi menggalakkan sikap menabung untuk
pendidikan, sukacita juga saya mengumumkan di sini bahawa pelepasan cukai yang
telah pun diberi sehingga 3,000 ringgit bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional
dinaikkan kepada 6,000 ringgit.
154. Menurut hukum, hutang wajib dibayar.
Pinjaman PTPTN satu amanah. Ia adalah satu keistimewaan, bukan satu hak. Jika
hutang PTPTN tidak dibayar, ia akan menafikan hak-hak pelajar masa depan. Oleh
itu, bagi memudahkan proses pembayaran balik, Kerajaan akan memperkenalkan
beberapa insentif. Pertama, bagi peminjam yang menyelesaikan hutang sekali gus
dalam tempoh setahun selepas pengumuman ini, bermula 1 Oktober 2012 hingga 30
September 2013, diskaun 20 peratus akan diberikan ke atas jumlah pinjaman
mereka.
155. Manakala, bagi mereka yang membayar pinjaman secara
konsisten mengikut jadual mulai 1 Oktober 2012, diskaun 10 peratus setahun akan
diberikan. Kita tahu Tuan Yang di-Pertua, ada pihak yang mencadangkan supaya
hutang keseluruhan hutang PTPTN dimansuhkan. Ini adalah satu perbuatan yang amat
tidak bertanggungjawab kerana jika dimansuhkan, siapa yang akan menanggung lebih
30 bilion ringgit hutang PTPTN. Bukankah yang akan terbeban adalah rakyat
Malaysia? Bertanggungjawabkah jika kita yang berhutang masyarakat yang
menanggung. Itulah persoalannya.
Program Jalur Lebar untuk Rakyat
Termiskin di Bandar
Tuan Yang di-Pertua,
156. Kerajaan akan
menubuhkan 100 Pusat Internet 1Malaysia bagi Tahun 2013 hingga 2015 di dalam
bandar seperti di kawasan perumahan rakyat. Pusat ini dilengkapi dengan
kemudahan komputer dan perkhidmatan jalur lebar bagi kegunaan harian dan
meningkatkan kegiatan sosioekonomi mereka. Untuk itu, SKMM akan menyediakan
peruntukan sebanyak 150 juta ringgit.
Menggalakkan Aktiviti
Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR)
Tuan Yang di-Pertua,
157.
Kerajaan berharap pihak swasta, badan korporat serta syarikat berkaitan Kerajaan
dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan dan kesejahteraan
rakyat melalui Tanggungjawab Sosial Korporat atau ‘Corporate Social
Responsibility’. Bagi menyokong usaha Kerajaan untuk merancakkan aktiviti CSR,
program yang akan dilaksanakan oleh GLC dan agensi
termasuklah:
Pertama: Felda akan melaksana dan menyiapkan projek
perumahan generasi baru sebanyak 20,000 unit untuk tempoh lima tahun di atas
5,000 ekar tanah dalam kawasan Felda. Projek ini akan menelan belanja sebanyak
1.5 billion ringgit dalam tempoh tersebut. Di samping itu, Felda telah
memperuntukkan sebanyak 60 juta ringgit bagi membaiki rumah-rumah kampung
tradisi di sekitar rancangan. Felda juga akan berbelanja sebanyak 100 juta
ringgit setahun untuk program pendidikan dan latihan kemahiran serta biasiswa
kepada 5000 anak generasi baru, 30 peratus atau 2,000 orang dari jumlah ini
adalah terdiri dari anak-anak dari luar Felda;
Kedua: Yayasan 1MDB
akan menyediakan 300 juta ringgit bagi pemberian geran pendidikan, bantuan
kewangan, pembinaan rumah arau untuk pelajar pra-sekolah di pedalaman Sarawak,
Klinik Bergerak 1Malaysia dan program membaiki rumah bagi golongan miskin dan
daif; dan
Ketiga: Syarikat-syarikat GLIC dan GLC akan
memperuntukkan hampir 500 juta ringgit untuk menjalankan CSR dalam bidang
pembangunan komuniti, biasiswa, pendidikan, sukan dan alam
persekitaran.
Tuan Yang di-Pertua,
158. Sebaik manapun dasar yang
telah digubal pihak Kerajaan tidak akan bermakna tanpa pelaksanaan yang cekap
serta berkesan. Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada semua penjawat awam
negara yang merupakan jentera pelaksanaan dasar negara sama ada yang berada di
peringkat daerah, pihak berkuasa tempatan, negeri mahupun pusat.
159.
Kerajaan juga ingin mengambil peluang ini untuk mengiktiraf peranan yang
dimainkan Kementerian Kewangan sebagai pelaksana dasar fiskal negara, Bank
Negara Malaysia yang bertanggungjawab terhadap dasar monetari negara dan
Suruhanjaya Sekuriti yang mengawal keutuhan pasaran modal kebangsaan.
160.
Makanya, sebagai Kerajaan yang mengenang budi, suka saya
mengumumkan pemberian bonus sebanyak satu setengah bulan gaji. Seperti kita
tahu, dari jumlah ini, setengah bulan telahpun diberikan menjelang perayaan
Aidilfitri yang lepas, sejumlah setengah bulan gaji lagi akan diberikan pada
bulan Disember kelak manakala setengah bulan lagi akan diberikan pada bulan
Januari nanti. Diharapkan pemberian bonus ini akan mengurangkan beban para
penjawat awam terutamanya yang berkeluarga sempena musim awal
persekolahan.
PENUTUP
Tuan Yang di-Pertua,
161.
Bajet yang baru saya bentangkan untuk tahun 2013 ini adalah bajet terakhir
sebelum pilihanraya umum ke-13. Ia merupakan antara siri-siri bajet yang akan
mendorong negara tercinta ke arah pencapaian wawasan nasional.
162.
Dengan izin Allah SWT dan dengan sokongan serta dukungan rakyat Malaysia,
InsyaAllah kita akan menyaksikan enam lagi bajet yang akan dibentangkan oleh
Kerajaan Barisan Nasional sebelum Malaysia berubah status daripada sebuah negara
membangun berpendapatan sederhana tinggi menjadi sebuah negara maju
berpendapatan tinggi.
163. Sebagai parti yang telah dimandatkan, kami
menyeru agar rakyat menilai secara kritikal dan rasional akan titipan rekod
kejayaan yang dimiliki oleh Barisan Nasional. Kerajaan BN dan sebelum itu
perikatan telah selama 55 tahun mencipta kehidupan yang lebih baik untuk rakyat
Malaysia.
Tuan Yang di-Pertua,
164. Kita tahu ada pihak yang
menyeru supaya mereka diberi peluang untuk membentuk kerajaan. Secara berlapang
dada, dalam sebuah negara yang demokratik, kita faham tidak salah menawarkan
diri, kerana mereka juga ada hak namun pada akhirnya, rakyatlah yang akan
menentukan siapa akan mendapat mandat melalui peti undi.
165. Kini,
masanya hampir tiba apabila rakyat Malaysia akan membuat pilihan bagi menentukan
masa depan mereka dan anak-anak mereka. Persoalan yang perlu ditanya semasa
membuat keputusan ialah, sama ada kehidupan mereka hari ini lebih baik
berbanding semalam dan adakah hari esok menjanjikan harapan yang sarat dengan
peluang serta potensi. Jika jawapannya ya, maka tanpa ragu-ragu berilah mandat
kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambahbaik apa yang
ada.
Tuan Yang di-Pertua,
166. Pujangga bermadah, bumi mana tak
ditimpa hujan, gading mana yang tidak retak. Kita akur, Kerajaan BN tidak bebas
dari kekhilafan tetapi yang membezakan kami dan mereka ialah mereka tidak
mempunyai ketawadu’an untuk mengakui kesilapan sebaliknya mencipta alasan demi
alasan dengan penuh gempita menyalahkan orang lain.
Tuan Yang
di-Pertua,
167. Pucuk pangkalnya, pihak yang menawarkan alternatif ini
juga perlu dinilai catatan rekod mereka. Kerana mereka bukannya tidak dikenali
rakyat Malaysia. Malah, ada di kalangan mereka pernah diamanahkan sebagai
kepimpinan tertinggi yang mengurus khazanah negara. Tidak cukup dengan itu, hari
ini di beberapa negeri mereka juga mengepalai Kerajaan.
168. Kalau hari
ini mereka menjanji itu dan ini, rakyat Malaysia harus bertanya, apabila
pemimpin berkenaan, ketika masih berjawatan dulu, kenapa tidak melaksanakan apa
yang dikokokkan. Hakikatnya, jika ketika berpeluang, tidak melaksanakan segala
yang dijanji, apatah pula jaminan mereka akan melunaskannya jika diberi kuasa
sekarang.
Tuan Yang di-Pertua,
169. Bukankah apabila berhadapan
dengan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara ini dibuatnya? Jika kini, di
negeri-negeri yang ditadbir mereka, apa yang terkandung dalam manifesto mereka
sendiri pun masih tinggal janji, mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan
amanah dan kuasa.
170. Ini berbeza dengan kerajaan BN. Apabila berjanji,
ditepati. Bahkan sebelum berjanji pun lagi, kita bersikap bertanggungjawab,
dengan menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan atau tidak. Bukannya
mengambil sikap asal menang, segalanya-galanya sanggup dipertaruhkan. Sebaliknya
bila menang, janji hilang entah ke mana.
Tuan Yang di-Pertua,
171.
Kata Plato “The measure of a man is what he does with power”. Justeru, hari ini,
kita dapati, untuk berkuasa, ada sesetengah pihak sanggup mengadu domba antara
agama dan bangsa, sanggup menggadai segala-galanya hatta prinsip sekalipun demi
kerakusan kuasa. Kerajaan BN, dibimbing prinsip “fastabiqul khairat” sepertimana
terkandung di dalam ayat al-Quran yang saya baca pada awal ucapan tadi, iaitu
berlumba-lumba melakukan kebaikan. Sedangkan pegangan puak sana tampaknya
“fastabiqul fasad”, iaitu berlumba-lumba membuat onar kerosakan.
172.
Kalau kita lihat lagi, hakikatnya Kerajaan BN adalah perintis kepada perpaduan
kaum yang menjadi teras kestabilan nasional tetapi pihak lain yang ingin menjadi
Kerajaan merintis kekuatan melalui konflik dan kebencian. Kerajaan difitnah dan
dituduh semahunya.
173. Maka, saya menyeru rakyat Malaysia supaya
menghakimi Kerajaan BN dengan amal perbuatan bukannya retorik. Marilah
bersama-sama saya dan rakan-rakan untuk kita melepas bebaskan segala potensi
yang ada bagi membina sebuah negara yang boleh kita banggakan. Sebuah negara
yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang
kuat melindungi, yang muda kasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan dikhidmati
dan yang berbakat digilap.
174. Sesungguhnya, kita mahukan Malaysia yang
tersanjung di persada antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang
menjadi cahaya dan oasis di tengah-tengah ketidaktentuan global. Mudah-mudahan
dengan izin-Nya dan sokongan padu rakyat, kita bakal membina sebuah realiti dari
impian. Kepada Allah kita berserah.
Tuan Yang di-Pertua,
Saya
mohon mencadangkan.