Saturday, 4 August 2012

Penghayatan Semangat Ramadan

Apabila bekerja pada Ramadan, fikiran dan hati kita sewajarnya diisi dengan semangat dan keinginan untuk menggandakan usaha sama ada secara kuantiti mahupun kualiti sesuai gandaan ganjaran, kemuliaan serta keistimewaan Allah SWT anugerahkan di bulan penuh kerahmatan ini.
Atau sebaik-baiknya kita berusaha menampung serta menggantikan sebarang bentuk kekurangan kerja semalam demi merebut dan bersyukur dengan segala limpahan yang Allah SWT janjikan pada bulan ini.

Diriwayatkan oleh Salman al-Farisi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan (pada Ramadan) secara sukarela satu perkara daripada perkara kebaikan (sunat), maka dia seperti orang yang menunaikan kefarduan pada masa yang lain. Sesiapa menunaikan (pada Ramadan) suatu kefarduan, maka dia seperti orang yang menunaikan 70 kewajipan pada masa yang lain.”

Bulan Kualiti

Justeru, saya tertarik apabila ada organisasi mengadakan Bulan Kualiti pada Ramadan. Program diatur boleh mengingatkan dan mencabar kesungguhan diri bagaimana kita boleh menjana kualiti serta meningkatkan prestasi lebih baik berbanding bulan lain.

Ramadan sering dirujuk bulan memperbanyakkan beribadat dan bersedekah, sedangkan selain daripada itu tidak pula dianggap sebagai ibadat. Menghulur selain daripada wang ringgit dan harta pula, tidak difahami sebagai suatu sedekah.
Kefahaman ini jika dibiarkan boleh mencacatkan suasana dan hasil kerja pada bulan ini. Atas semangat ini juga kita menyemarakkan kegigihan bekerja dengan sukarela dan senang hati sambil memujuk diri bersabar menghadapi segala kesulitan dalam keadaan berpuasa sebagai suatu latih tubi.

Pengertian sedekah lebih luas

Justeru, menyegerakan urusan bagi sesuatu permohonan, mempercepatkan pembayaran, menjawab panggilan telefon serta melayan pelanggan semasa waktu rehat juga antara contoh ibadat dan sedekah di tempat kerja.

Menurut Islam, setiap kebaikan itu nilainya adalah ibadat dan apabila Allah SWT memerintahkan kita menafkahkan sebahagian harta ke jalan-Nya, tujuannya adalah sebagai tanggungjawab sosial dan untuk mengelak keburukan pada diri pemilik.

Kefahaman dan semangat inilah maka Prof Dr Yusof al-Qaradawi melebarkan maksud sedekah dalam bukunya Dawru al-Qiyam wa al-Akhlaq fi al-Iqtisad Islamiy.

Sumbang buah fikiran

Salah satu caranya ialah bersedia menyumbang tenaga dan buah fikiran di tempat kerja tanpa dipaksa, menunggu arahan atau mengharapkan pujian. Inilah antara maksud mendalam yang terkandung dalam konsep sedekah meliputi segala kemampuan dimiliki.

Segala keupayaan dan kemampuan inilah menjadi modal dan ‘harta’ bersedekah. Firman Allah SWT: “Orang yang menafkahkan hartanya di malam dan siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah, ayat 274)

Konsep kerja

Jika konsep sedekah diterjemahkan dalam bekerja, beberapa parameter atau bentuk bersedekah ialah melakukan sesuatu kerja dengan inisiatif sendiri tanpa arahan tertakluk kepada bidang kuasa dan peraturan.

Menyiapkan kerja lebih awal atau dalam tempoh dikehendaki tanpa perlu diberikan peringatan berulang, bersedia memperuntukkan lebih masa untuk kerja, melayani pelanggan atau melayan panggilan telefon walaupun di luar waktu pejabat.

Usaha ini walaupun kemungkinan sukar untuk dipertimbangkan pada bulan lain tetapi pada Ramadan yang mana Allah SWT menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda, menjadikan kita lebih ringan tulang.

Usaha ini menjadikan Ramadan madrasah untuk melahirkan insan lebih baik bukan sekadar pada ibadat khususnya seperti solat, zikir dan tadarus malahan juga pada kerjaya.

Kefahaman yang betul mengenai ibadat dan sedekah kerja ini bukan sekadar bermanfaat untuk organisasi tetapi juga setiap kita supaya semangat Ramadan diserapkan dalam segenap keadaan, sekali gus membentuk kekuatan sahsiah.

Menurut pandangan Pendeta Zaaba, antara kelemahan masyarakat ialah apabila lemahnya sahsiah yang antaranya terlalu bergantung kepada orang lain, kurang hemah dan lemah cita-cita.

Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Thursday, 2 August 2012

CUEPACS Cadang Imbuhan Tetap Perumahan Diselaras

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini mencadangkan penyelarasan imbuhan tetap perumahan kepada RM450 sebulan untuk semua penjawat awam dan penurunan kadar faedah pinjaman perumahan daripada 4 peratus kepada 1 peratus.
Timbalan Presiden Cuepacs, Aziz Muda, berkata cadangan berkenaan antara 23 syor yang dikemukakan Cuepacs kepada Suruhanjaya Khas Mengenai Transformasi Perkhidmatan Awam.
"Satu perkara yang kita beri penekanan kepada suruhanjaya adalah isu perumahan. Ini kerana dengan lonjakan harga rumah, dengan gaji yang diterima penjawat awam pada hari ini menyebabkan mereka tidak mampu memiliki rumah.
            

"Jadi kita minta suruhanjaya dan kerajaan melihat perkara ini secara komprehensif," katanya kepada pemberita selepas sesi pembentangan penambahbaikan perkhidmatan awam di bangunan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini hari ini.

Turut dicadangkan ialah pelarasan elaun bantuan sara hidup (COLA) kepada RM400 sebulan berbanding RM150 dan RM300 pada masa ini serta cadangan menaikkan elaun tetap keraian.

Beliau berkata semua cadangan itu diharap dapat dilaksanakan tahun depan.

"Kita juga minta 22 klasifikasi perkhidmatan yang telah diberi persetujuan untuk dinaik taraf (dalam Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA)) daripada gred 17 kepada gred 27 seperti juruteknik, renjer hutan, pembantu pertanian berkuatkuasa 1 Jan 2012," katanya.
Aziz berkata selain 23 syor itu, Cuepacs turut membentangkan 23 isu penjawat awam pada masa ini serta 24 cadangan penambahbaikan untuk memberi pengiktirafan kepada penjawat awam.

Katanya Cuepacs komited mengubah persepsi rakyat mengenai kualiti perkhidmatan awam demi kepuasan rakyat.

"Kami komited untuk memberi jaminan kepada kerajaan bahawa Cuepacs menyokong penuh supaya perubahan drastik dibuat untuk memperbaiki sistem penyampaian yang ada sekarang ini," katanya. - BERNAMA

Thursday, 26 July 2012

Jaga Adab Berpuasa

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

      HABIB Abdullah bin Alwi al-Haddad, dalam kitabnya Nashaihud Diniyyah wal Washaayal Imaniyyah berkata: "Orang yang berpuasa mempunyai adab-adab yang puasanya tidak menjadi sempurna, kecuali dengan adanya adab-adab itu. Yang terpenting daripadanya ialah menjaga lidahnya daripada dusta dan ghibah serta membicarakan sesuatu yang tidak perlu baginya. Ia menjaga kedua mata dan telinganya daripada mendengarkan dan memandang sesuatu yang tidak halal baginya serta sesuatu yang dianggap berlebihan."


     Seterusnya, ia menjaga pula dirinya daripada memakan makanan haram dan subahat, khususnya ketika berbuka puasa. Ia berusaha dengan sangat berhati-hati untuk tidak berbuka puasa, kecuali dengan memakan makanan halal lagi tayyibah.
Ulama Salaf berkata: "Apabila engkau berpuasa, lihatlah makanan apa yang engkau makan ketika berbuka dan di tempat mana engkau berbuka. Hal itu merupakan dorongan agar berhati-hati mengenai makanan berbuka puasa."
      Begitu pula orang yang berpuasa harus menjaga semua anggota tubuhnya daripada perbuatan yang tidak perlu. Dengan itu puasanya menjadi sempurna dan bersih.
     Banyak orang yang berpuasa memayahkan dirinya dengan lapar dan dahaga. Namun membiarkan anggota tubuhnya berbuat maksiat sehingga merosakkan puasanya dan mensia-siakan kepayahannya.
Nabi SAW bersabda bermaksud: Banyak orang yang berpuasa tetapi puasanya hanya menghasilkan lapar dan dahaga. (riwayat Muslim).
Meninggalkan maksiat adalah wajib bagi orang yang berpuasa mahupun yang tidak berpuasa. Tetapi orang yang berpuasa lebih utama untuk berhati-hati dan lebih wajib.
      Nabi SAW bersabda bermaksud: Puasa itu perisai. Maka pada hari kamu berpuasa, janganlah ia berkata-kata dan jangan berbuat kefasikan serta jangan menganggu orang lain. Jika ada orang memakinya atau memusuhinya, maka katakanlah, sesungguhnya aku berpuasa. (riwayat Bukhari dan Muslim).


Moon: Silent at its Best... (19)



      Termasuk adab orang berpuasa ialah tidak banyak tidur di siang hari dan tidak banyak makan di waktu malam. Hendaklah ia makan sekadarnya sehingga ia merasakan sentuhan lapar dan dahaga supaya jiwanya menjadi baik dan nafsunya menjadi lemah serta hatinya menjadi terang. Itu rahsia puasa dan tujuannya.
      Hendaknya orang yang berpuasa menjauhi kesenangan hawa nafsunya serta kenikmatan melampau. Latihan dan menjauhi keinginan nafsu menimbulkan pengaruh besar dalam menerangi hati dan secara khusus dituntut di bulan Ramadan.
     Adapun orang -orang yang menjadikan bersenang-senang dan hidup mewah di bulan Ramadan, hal itu merupakan tipu daya syaitan agar mereka tidak merasakan keberkatan puasa mereka.

Tuesday, 24 July 2012

Bawa Gajet Ke Sekolah

Kebenaran guna gajet tak bantu tingkat mutu pendidikan, undang banyak masalah

Tahun depan, tidak mustahil poster bertulis, “Sila matikan telefon bimbit atau gajet anda ketika guru sedang mengajar” akan ditampal di bilik darjah.


Di kawasan sekolah pula, poster bertulis “Penggunaan telefon bimbit atau gajet dibenarkan sebelum dan selepas waktu sekolah atau pada masa rehat saja,” mungkin akan ditampal di papan kenyataan dan setiap koridor.
Poster berkenaan ditampal bertujuan mendisiplin murid sekolah, selain memastikan mereka mematuhi syarat ditetapkan Kementerian Pelajaran susulan murid dibenarkan membawa telefon bimbit atau gajet komunikasi ke sekolah pada 2013.





Sony Ericsson Xperia X8



Bagaimanapun, kebenaran itu hanya akan menjadi kenyataan selepas undang-undang dan peraturan di bawah Akta Pendidikan 1996 dipinda, menurut Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Pindaan itu perlu bagi menggalakkan pendidik dan pelajar menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) pada abad ke-21 dan selaras langkah untuk melaksanakan pengajaran maya dan program ‘1Bestari’ di seluruh negara.

Bagaimanapun, keputusan Kementerian Pelajaran itu nampaknya mengundang kontroversi dan polemik kerana banyak pihak, khasnya ibu bapa termasuk guru menentangnya.
Tiada alasan kukuh dikemukakan, namun secara umumnya, ibu bapa dan pihak sekolah menganggap kebebasan itu hanya membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan sama ada kepada murid, guru dan ibu bapa.

Pada masa sama, guru, masyarakat dan ibu bapa berpendapat, penggunaan telefon bimbit oleh pelajar di sekolah tidak akan membantu meningkatkan mutu pendidikan, sebaliknya menyumbang kepada masalah disiplin di sekolah seperti kemungkinan berlaku kes kecurian telefon bimbit atau gajet dibawa anak mereka.

Di samping itu, ibu bapa dan guru bimbang jika murid dibenarkan membawa serta menggunakan telefon bimbit, mereka akan menjadi leka untuk belajar kerana asyik ‘mengulit’ tanpa henti telefon bimbit dan gajet masing-masing.

Walaupun kebenaran membawa telefon bimbit dan gajet seperti tablet itu bersyarat, namun ibu bapa menganggap keputusan itu masih kurang relevan dan membebankan.

Umum mengetahui, sejarah melarang murid membawa dan menggunakan telefon bimbit ke sekolah dikuatkuasakan sejak 13 Mei 1997.

Walaupun Kementerian Pelajaran membenarkan murid membawa telefon bimbit ke sekolah secara bersyarat menerusi satu pekeliling bertarikh 23 Disember 2005, namun ia ditarik balik oleh Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein pada 19 Januari 2006 atau 28 hari selepas pekeliling itu dikeluarkan.

Kini, cadangan membenarkan murid membawa telefon bimbit dan gajet ke sekolah disuarakan sekali lagi dan maklum balas awal yang diterima menunjukkan majoriti guru tidak bersetuju kerana keperluan pelajar untuk membawa telefon bimbit ke sekolah amat sedikit dan tidak mewakili suara majoriti.

Tambahan pula, jika diteliti, telefon bimbit yang dijual di pasaran kini ialah jenis telefon pintar iaitu mempunyai ciri-ciri dan aplikasi canggih yang memudahkan sesiapa saja melayari internet, bersembang dalam laman sosial, mengambil gambar, merakam video dan suara tanpa had batasan.

Dari sudut positif, penggunaannya dapat membantu mengembangkan minda dan kreativiti murid di sekolah khasnya untuk mencari maklumat, namun ia juga mampu mencetuskan lebih banyak isu disiplin kerana besar kemungkinan murid menyalahgunakannya untuk tujuan tidak bermoral.

Memang diakui, telefon bimbit dan gajet seperti tablet sudah menjadi fenomena serta keperluan dalam kehidupan kita sehari-hari, namun adakah ia berupaya mendorong murid di sekolah menggunakannya secara bijak dan terkawal apabila dibawa ke sekolah.