Saturday 17 September 2011

Tok Janggut

Mengikut fakta sejarah, Tok Janggut atau nama sebenarnya, Mat Hassan Munas dilahirkan di Kampung Saring, Jeram sebelum dibesarkan di Istana Raja Jeram oleh ayahnya yang juga Panglima Tengku Seri Maharaja Jeram.

Tok Janggut mempelajari ilmu pendekar daripada Datuk Mingkong Bujur Legeh manakala didikan agama daripada Panglima Munas sendiri.

Semangat menentang penjajah mendapat sokongan cicit pengasas kerajaan Kelantan iaitu Tengku Besar Jeram.

Kehadiran sekumpulan pejuang dari Pahang yang menjadi buruan Inggeris pada 1890-an sebelum bersembunyi di Jeram turut menyemarakkan semangatnya menentang penjajah.

Antara paling sensitif ialah pengenaan cukai kepala RM1 seorang setahun, pokok buah-buahan tiga sen setahun, kelapa tiga sen setandan dan sireh lima sen sejunjung.

Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram diambil alih seorang pegawai tadbir British dari luar Kelantan dikenali sebagai Latiff bagi menggantikan Tengku Besar.

Pertelingkahan mengenai cukai dan urusan pengutipan cukai terlalu lambat sehingga berlarutan tiga hari menyebabkan Tok Janggut enggan membayar cukai sebelum Latiff mengarahkan satu pasukan polis diketuai Sarjan Sulaiman atau Che Wan bertolak ke Kampung Tok Akib bagi menemui Tok Janggut pada 29 April 1915.

Dalam pertemuan itu, pergelutan berlaku yang menyaksikan Che Wan terbunuh, menyebabkan Tok Janggut dan pengikut setianya semakin bersemangat untuk ‘menyerang’ Latiff di Pasir Puteh.

Namun, Latiff meloloskan diri ke Kota Bharu sebelum bantuan ketenteraan dari Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dihantar ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915.

Pertempuran sengit berlaku di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh pada 25 Mei 1915 menyaksikan kebangkitan Tok Janggut, menyebabkan Sultan Kelantan pada masa itu merasai dirinya terancam, selain menganggap pejuang kemerdekaan itu sebagai penderhaka.

Bagaimanapun, Tok Janggut menemui ajal dalam pertempuran di Kampung Pupuh sebelum mayatnya dibawa ke Kota Bharu menggunakan kereta lembu yang memakan masa satu hari.

Selepas digantung secara tergantung daripada kaki ke bawah selama beberapa hari di depan istana di Padang Bank atau Padang Merdeka, mayat Tok Janggut akhirnya dikebumikan di hilir Pasir Pekan.

No comments:

Post a Comment